Selangorkini
SELANGOR

Selangor Perlu Menjadi Kerajaan Pintar – Sultan Selangor

SHAH ALAM, 19 MAC : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya Kerajaan Negeri Selangor menjadi sebuah kerajaan pintar atau ‘smart government’ yang mampu memenuhi amanah dan mandat rakyat dengan sebaik-baiknya untuk menghadapi cabaran mendatang.

Baginda bertitah, pentadbiran sesebuah kerajaan itu mestilah mampu menguruskan perubahan dengan cekap selain menggunakan cara kerja yang mengambil manfaat daripada teknologi, inovasi dan penemuan-penemuan terkini yang relevan dari seluruh dunia.

Titah baginda, kerajaan perlu membuka ruang supaya aktiviti ekonomi dapat digerakkan oleh individu dan syarikat tanpa melibatkan campur tangan berlebihan.

“Kerajaan sekadar bertanggungjawab memberi galakan, mengawal selia dan memastikan keadilan untuk semua. Matlamat perniagaan adalah meningkatkan keuntungan, justeru, kerajaan diberi mandat untuk memastikan proses mengejar keuntungan ini tidak mendatangkan mudarat, merosakkan alam sekitar atau menyusahkan rakyat. Kerajaan adalah benteng pelindung kepada rakyat melalui penggubalan dan kuatkuasa peraturan-peraturan yang perlu,” titah baginda.

Selain itu, baginda mahu  kerajaan negeri meneruskan usaha menarik pelaburan, sama ada domestik mahupun pelaburan asing bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat selain memberi galakan kepada usahawan serta syarikat yang memperkenalkan inovasi dan mengeluarkan produk-produk baru.

“Syarat dan prosedur harus dipermudah, proses dipercepat dan ketelusan diamalkan. Insentif dan kemudahan wajar diberikan kepada syarikat-syarikat yang mengutamakan pekerja tempatan, melaksanakan proses pemindahan teknologi dan serius dalam usaha meningkatkan kemahiran pekerja melalui skim latihan yang sistematik,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Selangor Kali ke-12 di Dewan Annex, SUK di sini hari ini.

Dalam pada itu, baginda turut bertitah supaya pentadbiran kerajaan negeri bertanggungjawab mengawal selia dengan amanah dan berhemah akan modal utama negeri ini, iaitu urusan tanah.

Titah baginda, kawasan-kawasan kepentingan umum seperti hutan simpan, kawasan tadahan air, rizab sungai dan sebagainya mesti dipertahankan dengan pencerobohan mesti dibanteras dan kebenaran tidak sepatutnya diberikan untuk projek-projek pembangunan di kawasan tersebut.

Justeru baginda berharap, kerajaan negeri mendapat kerjasama daripada syarikat-syarikat korporat, badan-badan bukan kerajaan dan penduduk setempat untuk mengekalkan kawasan hijau dan  kawasan bersih.

“Penganjuran kempen kawasan hijau dan zon bersih di seluruh negeri, bertujuan memupuk kesedaran dan budaya cintakan kebersihan serta menjadikan Selangor negeri yang paling bersih di negara ini,” titah Tuanku.

Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang media berkata, kerajaan negeri menjunjung titah DYMM Sultan Selangor untuk menaikkan taraf pentadiran Selangor kepada pengurusan pintar menggunakan teknologi pengurusan komunikasi dan maklumat (ICT).

Beliau berkata, saranan DYMM Tuanku iaitu menggunakan dewan sebagai platform utama dalam perbincangan secara bernas dan beradab juga disambut baik oleh kerajaan Selangor.


Pengarang :