Selangorkini
SELANGOR

SELCAT: Yayasan Perlu Hentikan Majlis Tidak Berkepentingan

SHAH ALAM 6 MAC: Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (SELCAT) menasihatkan Yayasan Selangor supaya mengamalkan perbelanjaan berhemah dan tidak menganjurkan program yang tidak mempunyai sebarang hubung kait dengan matlamat yayasan berkenaan.

Pengerusi SELCAT, Datuk Teng Chang Kim berkata, berdasarkan kesimpulan laporan perbelanjaan untuk empat majlis yang dilaksanakan Yayasan Selangor menelan belanja hampir RM1.4 juta.

Empat majlis yang dimaksudkan adalah Majlis Makan Perdana sempena Majlis Ulangtahun ke-40, Majlis Korban Perdana, Majlis Berbuka Puasa dan Majlis Sambutan Aidilfitri.

Katanya tindakan ini dianggap boros memandangkan terdapat banyak perbelanjaan tambahan dan melibatkan tander terhad.

“Program seperti majlis aidilfitri misalnya saya rasa boleh dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Kalau semata-mata untuk jabatan, kita mempunyai banyak jabatan dibawah kerajaan negeri. Ianya akan memakan belanja yang banyak,” katanya.

Perbelanjaan Majlis Makan Perdana sempena Majlis Ulangtahun ke-40 terdiri daripada empat perkara iaitu jamuan makan perdana (RM270,750), Pertandingan Memancing (RM179,000), Cenderamata (RM52,900) dan lain- lain perbelanjaan (RM396,370).

Untuk Majlis Berbuka Puasa, jumlah perbelanjaan bernilai RM167,400, Majlis Jamuan Aidilfitri sebanyak RM303,476 manakala Majlis Korban Perdana bernilai RM44,452.

Selain itu, penggunaan tander terhad juga seperti tidak relevan memandangkan syarikat yang dipanggil untuk memasuki tander dimaklumkan melalui panggilan telefon.

Dalam maklum balas oleh Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki berkata pihaknya telah melakukan perubahan yang besar berhubung segala perbelanjaan mulai 2011.

“Majlis Jamuan Hari Raya pada tahun lalu yayasan cuma memperuntukan RM1,000 sahaja.


Pengarang :