Selangorkini
SELANGOR

Sultan Puji Dasar Zon Bersih

SHAH ALAM 19 MAC: Sultan Sharafudin Idris Shah memuji usaha-usaha Kerajaan Negeri dalam memelihara alam sekitar dan memupuk budaya kebersihan di semua daerah di seluruh negeri.

?Kegigihan Kerajaan negeri dalam kerja pemuliharaan Hutan Simpan Raja Musa, pemuliharaan habitat kelip-kelip di Tanjung Beluntas Kuala Selangor dan menjadikan Taman Tasik Shah Alam sebagai zon bersih adalah antara usaha-usaha yang wajar menerima pujian dari semua pihak.

?Kesemua usaha yang seumpama adalah bertujuan mengajak semua rakyat Selangor supaya bersama sama memastikan kawasan persekitaran dan negeri sentiasa bersih dan selamat.?

Sultan berkata demikian di dalam titah ucapannya semasa merasmikan pembukaan mesyuarat pertama penggal kelima sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Sehubungan itu, Sultan berharap Kerajaan Negeri mendapat kerjasama daripada syarikat-syarikat korporat, badan-badan bukan kerajaan dan penduduk setempat untuk mengekalkan kawasan hijau dan zon bersih.

?Kawasan-kawasan kepentingan umum seperti hutan simpan, kawasan tadahan air, rizab sungai dan sebagainya mesti dipertahankan.

?Pencerobohan mesti dibanteras dan kebenaran tidak sepatutnya diberikan untuk projek-projek pembangunan di kawasan tersebut.?

Upacara dimulai dengan Keberangkatan tiba Sultan Selangor dan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama.

Sejurus selepas itu, sultan berangkat masuk ke Dewan dengan diiringi oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.


Pengarang :