NASIONAL

Tuduhan Najib Razak Berniat Jahat

SHAH ALAM, 28 MAC : Tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bahawa Kerajaan Selangor yang dipimpin Pakatan Rakyat  menipu kerana gagal menunaikan janji pilihanraya dibuat tanpa kajian, penuh emosi dan berniat jahat, tegas Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.

“Berdasarkan kajian kita lakukan, rakyat tidak terlalu menekankan pada janji berupa habuan wang ringgit tetapi lebih kepada tuntutan untuk sebuah pentadbiran yang telus, efisien, bertanggungjawab dan melaksanakan amanah rakyat dengan jujur,” kata Faekah dalam kenyataan media.

Menurut Faekah dalam Pilihanraya Umum 2008, Umno-BN banyak menabur janji kepada rakyat yang kini belum dilaksana malah belum ada tanda janji ini akan dilaksanakan.

“Program Transformasi yang dijanjikan beliau kini jauh dari mencapai sasaran. Perbuatan Najib ini seumpama ‘telunjuk lurus kelingking berkait’, hipokrit dan penuh kepura-puraan,” katanya.

Tambah Faekah, rakyat memahami bukan semua janji berupa imbuhan seperti penurunan cukai pintu dapat dilaksanakan dengan serta merta.

Namun apa yang dituntut rakyat tanpa kompromi ialah sebuah kerajaan negeri yang ditadbir dengan baik dengan pemimpin yang tidak merompak harta rakyat.

“Sebuah kerajaan yang menipu ialah apabila pemimpinnya salah guna wang rakyat seperti dana Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) sebanyak RM250 juta. Menipu wang rakyat ialah apabila pemimpin mendapat komisen lebih RM500 juta hasil pembelian kapal selam Scorpene.

“Menipu wang rakyat ialah apabila pemimpin memutuskan untuk melupuskan hutang kroni terhadap kerajaan, mengutamakan keuntungan kroni berbanding kebajikan rakyat dalam pemberian kontrak kepada Puncak Niaga,” ujarnya.

Faekah berkata lagi , pemimpin-pemimpin beginilah yang sebenarnya menipu rakyat. Justeru, rakyat Selangor tidak lagi percaya dengan Najib dan pemimpin Umno-BN.

“Sebab sepanjang pemerintahan mereka di Selangor, watak-watak pemimpin hipokrit sebegitulah yang berjaya dipamerkan oleh mereka,” tegas beliau.


Pengarang :