NASIONAL

Aktivis Mahasiswa Bertahan, Dikunjungi Wanita Misteri

KUALA LUMPUR, 25 APR: Aktivis Mahasiswa yang mahukan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan masih bertahan di Dataran Merdeka untuk hari yang ke 12 hari ini meskipun berada dalam keadaan terpaksa berpanas dan berhujan.

Dalam tinjauan TVS pagi ini, mendapati kanopi yang sebelumnya didirikan bagi tujuan Konsert Diraja Sabtu lalu telah dijadikan tempat berteduh mahasiswa terbabit juga telah diturunkan oleh kontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tindakan tersebut menyebabkan kumpulan mahasiswa terbabit memindahkan barang-barang mereka kira-kira 15 meter dari kanopi yang dibuka dan menggunakan sekaki payung yang lazimnya digunakan oleh peniaga bagi mengelakkan panas dan hujan.

Bagaimanapun tepat jam 10.00 pagi tadi, hampir sepuluh orang pegawai DBKL telah mengeluarkan arahan kepada kumpulan mahasiswa terbabit agar tidak menggunakan payung itu.

Setelah berbincang sesama mereka, aktivis mahasiswa yang terlibat kemudiannya akur dengan arahan pegawai-pegawai DBKL terbabit.
Sebelum itu, kira-kira jam 3.00 pagi tadi, kumpulan mahasiswa itu juga telah menurunkan kira-kira lima khemah yang dipasang semalam apabila diarahkan pihak DBKL.

Menurut salah seorang mahasiswa terlibat, mereka akan terus berkampung di Dataran Merdeka sehingga 28 April ini meskipun terpaksa berpanas dan berhujan.

Mahasiswa yang enggan namanya disebut itu juga memberitahu ketika ini mereka masih memiliki bilangan khemah yang agak banyak dan hanya menunggu masa sesuai untuk dinaikkan semula.

TVS difahamkan sehingga ke hari ini kira-kira lebih 80 buah khemah samada telah dirampas penguatkuasa atau dicuri oleh individu yang menyelinap ke kawasan perkhemahan mereka sebagai penyokong.

Perkhemahan mahasiswa yang dinamakan Occupy Dataran yang telah masuk hari ke 12 itu turut mencatatkan seramai enam orang aktivis ditahan pihak berkuasa dan seorang mengalami kecederaan dalam serangan samseng yang dipercayai penyokong Umno.

Dalam perkembangan lain, perkhemahan mahasiswa terlibat hari ini turut dikunjungi seorang wanita misteri yang mendakwa dirinya sebagai ‘Kerabat DiRaja Perak, saudara Kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, perisik upahan tentera dan ahli Pekida.

Wanita misteri yang memperkenalkan dirinya sebagai Shamsiah itu mendakwa kunjungan beliau ke perkhemahan aktivis mahasiswa itu bertujuan membantu aktivis-aktivis mahasiswa tersebut mengemukakan tuntutan mereka kepada pihak kerajaan.

“Betul, sumpah demi Allah, akak dah banyak tolong orang hadapi masalah-masalah macam ini,” katanya sambil mengangkat tangan

kanannya sebagai tanda mengangkat sumpah.

Setelah diasak soalan demi soalan dari aktivis mahasiswa dan wartawan yang berada di situ, kemudiannya beliau mengakui sebagai perisik tentera upahan pula.

“Ok.. Sebenarnya akak adalah seorang perisik upahan tentera,” kata wanita terbabit kepada mahasiswa dan beberapa wartawan yang berada di situ.

Ketika cuba menangkis dakwaan mahasiswa yang mengatakan beliau adalah anggota Cawangan Khas PDRM, beliau telah mengakui sebagai salah seorang  kerabat Diraja Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Tidak cukup dengan pelbagai pengakuan yang meragukan, beliau turut mendakwa mempunyai pertalian persaudaraan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam perbincangan yang kononnya untuk membantu aktivis mahasiswa terlibat, selain mahu membawa isu ini kepada pemimpin tinggi kerajaan, wanita itu juga berjanji untuk membincangkan tuntutan mahasiswa bersama Anwar dengan syarat mahasiswa terlibat harus menerima keputusan perbincangan itu nanti.

Bagaimanapun tawaran yang dikemukan oleh wanita terbabit ditolak mentah-mentah oleh kumpulan aktivis mahasiswa itu.


Pengarang :