NASIONAL SELANGOR

AMK Sokong Kempen SelangorKu Bersih

SHAH ALAM 20 APR : Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri melancarkan Kempen Selangorku Bersih untuk membantu pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia membersihkan daftar pemilih khususnya di Selangor.

Langkah itu menurut Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri merupakan usaha yang tepat dijalankan memandangkan terdapat banyak keraguan dalam senarai daftar pemilih.

“Jika dilihat pada senarai yang dikeluarkan, memang kita boleh simpulkan ia bakal menjadi pilihanraya terkotor dalam sejarah jika tiada usaha bersungguh-sungguh untuk membersihkannya.

“Jadi dengan adanya inisiatif sebegini, kami yakin kita mampu memantau dan mengelakkan ketidaktelusan dalam sistem pilihanraya,” jelas Asmizam yang dihubungi melalui panggilan telefon pagi tadi.

Beliau turut memberi contoh daftar pemilih di kawasan Parlimen Kota Raja yang menyaksikan kehilangan 4, 706 pengundi.

“Sedangkan pada 2008 mereka mengundi di sini tetapi senarai induk terbaru kita kehilangan kesemua mereka tetapi tidak mengapa kita akan cari ke mana pergi kesemua mereka ini.

“Maka, pada 22 April ini Pakatan Rakyat akan jalankan gerakan besar-besaran di Kota Raja menjalankan pemantauan ke daerah yang mencatatkan kehadiran pengundi meragukan,” ujar Azmizam yang juga Ketua Pemuda PKR Kota Raja.

Ditanya mengenai kemungkinan kecelaruan daftar pemilih merupakan sebahagian usaha Umno/BN untuk menawan kembali Selangor, beliau berkata ia sesuatu yang tidak dapat disangkal lagi.

“Jelas sebelum ini Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar untuk merampas Selangor tidak kira dengan cara apa sekalipun.

“Dan kita juga tahu SPR itu salah satu komponen mereka juga yang menjadi alat, jadi ramalan pilihanraya kali ini menjadi seperi drama yang sudah diskripkan memang tidak dapat dinafikan,” tambah Azmizam.

Sehubungan itu, beliau menyeru anak-anak muda terutamanya untuk turun menyertai Bersih 3.0 di Dataran Merdeka pada 28 April ini menuntut pilihanraya yang adil dan bersih.


Pengarang :