NASIONAL

Anwar: Bukan ISA Sahaja, Undang Lain Juga Patut Dimansuh

SHAH ALAM, 11 APR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, mengalu-alukan pembacaan kali pertama Bill Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Bagaimanapun menurut Anwar dalam satu kenyataan medianya hari ini, selain ISA, kerajaan haruslah turut memansuhkan undang-undang lain yang turut menindas rakyat negara ini.

“Ini tidak berakhir di sini tetapi hanyalah permulaan.

“Saya dan pembangkang Pakatan Rakyat akan terus mendesak (Datuk Seri) Najib untuk memansuhkan atau meminda semua undang-undang yang menindas seperti mengawal cetak serta penerbitan, penglibatan pelajar dalam politik, kesatuan, berhimpun dan mengundi di luar negara,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun menurut beliau, isu memansuhan akta ISA ini terlebih dahulu diperjuangkan oleh parti pembangkang dan gerakan masyarakat awam negara ini.

“Kita menyambut langkah ini untuk menamatkan sejarah menahan mana-mana pihak disebabkan kepercayaan politik mereka seperti saya dan ramai rakan-rakan saya dalam PKR dan Pakatan Rakyat, yang ditahan di bawah ISA.

“Kita tidak harus lupa bahawa masyarakat sivil di Malaysia, yang diketuai oleh pergerakan seperti GMI (Gerakan Mansuhkan ISA) dan SUARAM, telah lama menentang ISA.

“Malahan, sebelum pengenalan Rang Undang-undang ini, pakatan pembangkang telah berikrar untuk menghapuskan ISA apabila menang dalam pilihan raya umum yang akan berlangsung nanti.

Kedua, Najib dan pentadbiran beliau mengubah pendirian untuk memansuhkan ISA setelah menerima bantahan dan desakan yang berterusan dari Pakatan Rakyat.

“Keupayaan Pakatan memaksa kerajaan disebabkan adanya kekuatan yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Umum pada 2008 lalu,” menurut petikan kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan tersebut, akibat akta peninggalan penjajah Inggeris itu, penderitaan yang dialami oleh ribuan rakyat negara ini termasuk keluarga mereka yang pernah ditahan di bawah ISA telah hancur dan akan terus dirasai.

Dalam kenyataan itu lagi, Anwar turut menyatakan perkongsian pandangan Pakatan Rakyat dan Majlis Peguam seperti yang dinyatakan dalam satu memorandum bertarikh 19 Julai 2010 antara kedua belah pihak.

Menurut memorandum tersebut, terdapat undang-undang yang mencukupi untuk memerangi keganasan dan, jika perlu, undang-undang yang sedia ada dapat diperkukuhkan di samping perlindungan yang lebih baik dan mekanisme pengawasan.


Pengarang :