NASIONAL SELANGOR

Azmin: Umno-BN Sengaja Hidupkan Propoganda Murahan

KUALA LUMPUR, 18 APR : Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menyatakan isu penghinaan terhadap Raja-raja Melayu oleh pemimpin pembangkang yang digembar-gemburkan Umno-BN dan media kawalannya adalah satu cubaan menghidupkan sentimen propaganda murahan.

Sebaliknya Ahli Parlimen Gombak itu tegas dengan pendiriannya bahawa tiada apa yang berlaku ketika berlangsungnya majlis istiadat pertabalan Yang Dipertuan Agong di Istana Negara pada 11 April lalu.

“Saya tidak tahu. Tidak ada apa-apa yang berlaku,” katanya kepada TVSelangor ketika diajukan persoalan itu di Parlimen hari ini.

Katanya lagi Umno-BN terlalu ketandusan isu sehingga terpaksa mencipta apa sahaja asalkan bertujuan menfitnah pemimpin-pemimpin pembangkang

Mengulas lanjut, katanya, beliau tidak faham mengapa isu itu diperbesarkan kerana ketika majlis pertabalan itu segalanya dalam keadaan seperti sediakala.

Menurutnya, kehadiran Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat (Pakatan) adalah kerana tanda kasih sayang dan kesetiaan mereka kepada Raja-raja Melayu.

“Tiada isu pun. Saya pun tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh pihak yang buat tohmahan ini sebab suasana dalam Balairong Seri cukup harmoni dan kita menunjukkan kesetiaan kita kepada Raja-raja Melayu. Sebab itu kita hadir.

“Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat hadir sebagai tanda kasih kita kepada Raja-raja Melayu khususnya pada hari pertabalan Yang Dipertuan Agong. Mengapa ini dijadikan isu? Saya tak tahu apa yang ditohmahkan mereka. Saya melihat in sebagai satu propaganda murahan,” katanya.

Sebaliknya Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa menjelaskan Pakatan telahpun berikrar akan mempertahankan institusi Raja-raja Melayu seperti yang termaktub di dalam perlembagaan.

“Ini memang dilihat dalam tindakan kita di Selangor pada tahun lalu. Kita telah bawa satu usul khas pada persidangan khas di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa Tuanku Sultan tetapi ditolak oleh Umno. Itu satu perkembangan terkini yang membuktikan bahawa Umno lah yang mengkhianati dan menghina Raja-raja Melayu,” katanya.


Pengarang :