Selangorkini
SELANGOR

Banjir: Kerajaan Negeri Salur Bantuan RM300 Sekeluarga

SHAH ALAM 1 April : Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sekurang-kurangnya RM300 kepada setiap keluarga mangsa banjir kilat di sekitar daerah Klang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri juga akan menimbangkan langkah untuk menyalurkan bantuan lebih dari RM300 bergantung kepada kesusahan yang mereka alami.

“Sebagai negeri yang mementingkan kebajikan rakyat,  Kerajaan Negeri mengambil tindakan sewajarnya untuk meringankan kesusahan yang ditanggung mangsa-mangsa banjir kilat ini tetapi bantuan yang akan diberikan mestilah realistik dan mengikut kemampuan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada mangsa banjir atas kesabaran mereka dan  kerjasama mereka kepada pihak berkuasa negeri dalam memastikan proses membekalkan bantuan berjalan lancar,” kata Menteri Besar.

Menurutnya, dana ini adalah sekadar bantuan bagi meringankan beban mangsa dan bukan pampasan atas kehilangan atau kerugian yang mereka alami akibat banjir kilat yang teruk itu.

“Wakil rakyat di kawasan terlibat turut menubuhkan bilik gerakan untuk menyalurkan bantuan yang diperlukan seperti makanan, minuman serta keperluan lain.

“Bilik gerakan ini juga mendaftarkan semua mangsa bagi merekodkan jenis kerosakan dan kerugian yang ditanggung mangsa agar tindakan susulan diambil seperti bantuan sewajarnya.” kata beliau menerusi Sekretariat Media Pejabat Menteri Besar.

Dalam perkembangan sama, Abdul Khalid turut mengarahkan Pegawai Daerah Klang dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)  supaya menyediakan laporan lengkap kejadian ini termasuk punca dan cara penyelesaiannya. Laporan ini akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES), Khamis ini.

Sebagai rekod, Masalah banjir kilat di Klang telah berlanjutan sejak lebih 10 tahun lalu tanpa ada sebarang usaha agresif untuk mengatasi bencana alam ini dalam tempoh itu.

Adalah tidak wajar untuk meletakkan segala tuduhan terhadap kerajaan negeri sekarang sebagai tidak menjaga kebajikan rakyat dan gagal memastikan banjir kilat tidak berulang.

Sedangkan kerajaan negeri terdahulu yang memerintah lebih 50 tahun gagal menangani masalah ini.

Kerajaan Negeri akan megkaji semula pelan pembangunan di Klang berdasarkan kejadian dataran banjir 50 tahun.

“Pelan itu akan dijadikan panduan di mana Kerajaan Negeri akan menasihatkan pihak berkenaan supaya tidak membangunkan sesebuah kawasan jika kawasan itu kemungkinan ditenggelami banjir,”jelas Khalid.


Pengarang :