NASIONAL

Bersih 3.0 Bertaraf Kebangsaan

SHAH ALAM, 21 APR : Pemimpin PKR Selangor membidas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana memperkecilkan himpunan Bersih 3.0, dengan mengatakan acara yang bakal diadakan di Dataran Merdeka Sabtu depan adalah bertaraf kebangsaan.

Timbalan Ketua Wanita PKR Cabang Kuala Selangor, Wasanthee Sinnasamy berkata BERSIH 3.0 adalah perhimpunan rakyat Malaysia yang prihatan bagi menuntut pembersihan dalam sistem pilihanraya sekarang.

“Ini adalah national event (perhimpunan kebangsaan) kerana seluruh rakyat Malaysia menggunakan Dataran Merdeka dan DBKL tidak mempunyai hak untuk melarang ianya digunakan pada 28 April nanti,? Wasanthee berkata di dalam sebuah sidang media di sini.

Katanya, DBKL bukan pemilik Dataran Merdeka tetapi diberikan tugas untuk menjaganya dan tidak boleh menghalang rakyat Malaysia dari berhimpun pada hari tersebut.

Beliau berkata demikian di satu sidang media sempena satu pra-himpunan BERSIH 3.0 yang berlangsung di Dataran Shah Alam pada pukul tiga petang di sini hari ini.

Perhimpunan yang dianjurkan NGO PRORAKYAT bertemakan ‘Sembang-sembang, Duduk-duduk, Bantah-bantah’. Ia berjaya menarik sekitar 400 orang terdiri daripada Adun-adun Pakatan, wakil NGO serta orang ramai.

Setiausaha PRORAKYAT Mohd Naquib Carmeil Roseli berkata himpunan hari ini merupakan titik awal gerakan rakyat menuju ke BERSIH 3.0 di Dataran Merdeka pada 28 April ini.

“Semua rakyat diseru untuk menyertai BERSIH 3.0 untuk menuntut pilihanraya yang adil dan bersih,” di dalam sidang media yang sama.

Sementara itu, Ketua cabang PKR Tanjong Karang, Mohd Yahya Mat Sahri berkata Bersih 3.0 diadakan kerana kedegilan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) yang mengeluarkan daftar pengundi yang meragukan.

“Perubahan yang dilakukan oleh SPR masih jauh dari tahap puas hati kerana masih terdapat puluhan ribu senarai daftar pengundi yang diragui,” jelasnya.

Sebelum ini pihak DBKL tidak memberi kelulusan bagi himpunan Bersih 3.0 kerana menganggap Dataran Merdeka hanya dikhaskan untuk acara yang bertaraf kebangsaan.

Walaubagaimanapun, aktivis Bersih 3.0 dan penyokong himpunan itu berkataq meraka akan tetap berhimpunan di Dataran pada April 28.


Pengarang :