Selangorkini
NASIONAL

DAP Kesal Polis Gagal Bertindak Ketika Siswa Diserang

SHAH ALAM,20 APRIL : DAP mengutuk sekeras-kerasnya insiden serangan terhadap peserta yang berkhemah di Dataran Merdeka kerana ia bukan sahaja satu serangan ke atas prinsip-prinsip hak asasi manusia  tetapi ia penghinaan secara terang-terangan kepada budaya dan nilai-nilai Malaysia.

Setiausaha Agung DAP,Lim Guan Eng berkata kegagalan pihak polis bertindak dan keengganan menteri UMNO untuk mengutuk serangan ini adalah amat memalukan.

“Keengganan pihak polis yang dilihat di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur dengan “melengah-lengahkan kaki” mereka sekali lagi dan tidak mengambil langkah-langkah proaktif hanya dapat digambarkan sebagai satu jenayah kebencian yang bermotifkan politik.

Lebih teruk lagi, tiada Menteri UMNO memberi respon untuk mengutuk insiden kejam ini. Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein memandang ringan kejadian ini dan malah mendakwa bahawa ia adalah satu cubaan sengaja untuk membangkitkan emosi,” kata Guan Eng dalam kenyataan medianya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata kegagalan polis bertindak adalah sama dengan insiden di Speaker Corner, Esplanade Pulau Pinang pada 26 Februari lalu apabila ahli-ahli UMNO dan PERKASA berkelakuan seperti samseng, menyerang secara ganas dan mencederakan dua orang wartawan semasa perhimpunan anti-Lynas.

“Lebih buruk lagi adalah respon yang angkuh dan tidak boleh dimaafkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin yang mana sebagai menteri bertanggungjawab untuk universiti dan pelajar universiti untuk melindungi mereka dan bukannya menyerang secara kejam.

“Khaleed dalam twitter, “No one asked them to camp out at Dataran Merdeka.  When something happens, don’t go asking for sympathy.”  (Tiada siapa yang meminta mereka berkhemah di Dataran Merdeka.  Bila sesuatu terjadi, tidak perlu meminta simpati,” jelas Guan Eng.

Sekumpulan aktivis pelajar ini telah berkhemah secara aman di Dataran Merdeka sejak 6 hari lalu, dalam cubaan untuk menuntut hak-hak demokratik mereka untuk memprotes terhadap apa yang mereka dakwa kadar faedah dan caj pentadbiran yang tinggi telah dikenakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Keganasan biadap yang digunakan terhadap pelajar yang berkumpul secara aman ini telah menarik kutukan segera daripada semua pihak, termasuk kumpulan-kumpulan hak asasi manusia dan rakyat keseluruhannya.

“Sejak bila keganasan dan gangsterime menjadi sebahagian daripada budaya kita? Ia sangat menyedihkan apabila anak-anak kita yang hanya cuba untuk menyatakan hak demokratik mereka menjadi mangsa dalam apa-apa cara yang buruk dan ganas,” kata Guan Eng.


Pengarang :