NASIONAL SELANGOR

DBKL Benarkan Tiga Khemah Di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR 19 APR : Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akhirnya memberi kebenaran kepada kumpulan mahasiswa untuk mendirikan tiga buah khemah di Dataran Merdeka.

Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Zaini berkata, kumpulan mahasiswa menyambut baik respon daripada pihak DBKL demi menghormati Konsert Diraja pada malam esok.

“Walaupun sekadar lisan, namun respon DBKL itu kami hormati dan akan kami patuhi juga sebagai tanda menghormati Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agung.

“Tiga khemah yang dibenarkan ini juga sekadar berisi barang keperluan dan sumbangan daripada orang ramai sejak seminggu lalu,” jelas Syahid sambil menambah tiada tambahan khemah yang akan didirikan sehingga malam esok.

Mengulas lanjut respon pihak Kerajaan Pusat mengenai desakan mereka menuntut pendidikan percuma dan pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Syahid berkata setakat ini mereka tidak menerima maklum balas.

“Walaupun tiada respon, kita akan tetap dengan pendirian dan hasrat kita untuk mendapatkan pendidikan percuma kerana itu memang hak rakyat.

“Bagaimanapun kami menghargai MP pembangkang yang membawa isu pendidikan percuma ini ke sidang dewan parlimen untuk perhatian semua,” ujarnya.

Kumpulan mahasiswa mula berkampung secara aman dengan memasang khemah di Dataran Merdeka sejak seminggu namun dicemari insiden diserang samseng tidak dikenali awal pagi semalam.

Hari ini merupakan hari ke tujuh perkhemahan mahasiswa bertapak di Dataran Merdeka.


Pengarang :