NASIONAL SELANGOR

Dr Rani: J/K Khas Sebagai Agen Kepada Jais

SHAH ALAM, 4 APR – Penubuhan jawatankuasa khas untuk mengkaji kekuatan dan kemampuan khas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam menyelesaikan konflik umat Islam termasuk isu murtad disifatkan sebagai cara terbaik untuk menangani masalah itu secara efektif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Dr Abdul Rani Osman berkata, jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri itu akan bertindak sebagai agen untuk memberi maklumat kepada Jais sebelum dipanjangkan kepada Majlis Agama Islam (Mais) sekiranya berlaku sebarang masalah akidah di kalangan umat Islam.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa itu juga bukanlah kerana mempertikaikan kredibiliti Jais dalam menangani isu umat Islam di Selangor, sebaliknya ia bertujuan memberi penambahbaikan kepada jabatan itu untuk membela martabat Islam.

“Saya berpandangan bahawa jawatankuasa ini adalah sebagai satu jalinan kerjasama bersama Jais dan Mais memandangkan kes akidah di kalangan umat Islam sekarang bertambah serius.

Tidak hanya isu murtad, sebaliknya kes gejala sosial dan rasuah yang berlaku di kalangan masyarakat hari ini juga adalah disebabkan kurangnya pengetahuan atau pendedahan mengenai ajaran Islam.

Jawatankuasa ini dibentuk bukanlah kerana meragui Jais tidak boleh buat kerja, tetapi ia hanya sebagai agen untuk bersama-sama membantu menangani isu akidah Islam,” tegasnya.

Jawatankuasa ini akan dianggotai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi, Pengarah Jais, Datuk Marzuki Husin, Pengarah Penguatkuasa Jais, Mohd Rais Rashid, Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman serta dibantu dua pegawai undang-undang dari Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Jais.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, anggota jawatankuasa yang dipilih ini bukan sahaja akan menilai kemampuan Jais, tetapi juga akan merangka mekanisma dan kaedah bagi memantapkan lagi peranan jabatan dalam mencari penyelesaian berkesan dan holistik.

Sementara itu, ketika ditanya tentang pendedahan video murtad oleh bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali kelmarin, Dr Rani menegaskan, isu berkenaan seharusnya dipantau pihak berkuasa sejak dulu lagi memandangkan ia adalah perkara serius.

Jelasnya, isu murtad telah lama berlaku dan bukannya selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pemertintahan di Selangor pada 2008 seperti yang didakwa.

“Isu ini sangat serius dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak terutama umat Islam termasuk ahli PAS, Keadilan (PKR) dan Umno-Barisan Nasional (BN) sendiri.

Video yang ditunjukkan oleh Adun Gombak Setia (Hasan) itu dikatakan berlaku sekitar tahun 2002. Kenapa baru sekarang hendak didedahkan? Secara tak langsung, ia telah mempertikaikan tanggungjawab Hasan sebagai Exco Hal Ehwal Agama sebelum ini.

Saya berharap, mana-mana pihak yang mempunyai bukti mengenai isu murtad, tidak perlulah menunggu lama sebaliknya tampilkan bukti itu dengan segera kepada Mais, Jais atau pihak Kementerian. Jangan salahkan mana-mana pihak,” jelas beliau lagi.

 

 

 

 

 

 


Pengarang :