NASIONAL

Himpunan Hijau Apr 28 Siap Sedia Hadapi Semua Sekatan

SHAH ALAM, 12 APR: Penganjur perhimpunan membantah loji nadir bumi Lynas, bersiap sedia menghadapi sebarang sekatan yang bakal berlaku pada himpunan yang bakal berlangsung 28 April ini.

Anggota jawatankuasa pemandu Himpunan Hijau, Clement Chin berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada pihak polis tentang perhimpunan tersebut dan perancangan mereka untuk berarak dari KLCC ke Dataran Merdeka.

“Semuanya ok dan setakat ini tidak ada sebarang masalah. Kita sudah maklumkan melalui berita. Semua beres, kita jalan sahaja,” katanya.

Clement, yang juga anggota jawatankuasa Save Malaysia Stop Lynas, (SMSL)  berkata terpulang kepada pihak polis tentang tindakan yang bakal diambil terhadap peserta perhimpunan itu.

Beliau menjangkakan kehadiran ribuan penyokong memandangkan pelbagai individu dan NGO sudah menyatakan sokongan untuk turut sama pada hari berkenaan dan mengadakan ‘Tsunami Hijau’ pada hari tersebut.

Himpunan Hijau dijangka akan berarak dari KLCC ke Dataran Merdeka di mana mereka akan bersama dengan penyokong Himpunan Bersih 3.0, ‘Duduk dan Bantah’.

Himpunan Hijau tersebut merupakan yang ketiga selepas Kuantan pada 9 Oktober tahun lepas dan 26 Feb.

Himpunan Hijau 2.0, pada 26 Feb yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan berjaya menarik kehadiran 15,000 orang.

Kempen Save Malaysia Stop Lynas, (SMSL) adalah untuk membantah operasi loji Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan, yang bakal mencemari persekitaran dengan sisa radioaktif.


Pengarang :