SELANGOR

“Jom Shopping” Terima Sambutan Menggalakkan Di Seri Serdang

PUCHONG, 24 APR : Program Jom Shopping yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor terus mendapat sambutan menggalakkan di kalangan masyarakat tanpa mengira latarbelakang politik, bangsa dan agama.

Melalui program seumpama ini, warga emas berusia 60 tahun keatas yang telah berdaftar di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) diberikan baucar sebanyak RM100 untuk membeli belah di pasaraya terpilih.

Menurut Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang, Mohd Rosharizan Mohd Rozlan, program ini terus mendapat sambutan hangat daripada warga emas sejak ia dilancarkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tahun lepas.

Beliau berkata, setakat ini DUN Seri Serdang telah melaksanakan program tersebut sebanyak enam kali dengan penyertaan lebih 400 warga emas.

“Sebenarnya seramai 600 warga emas yang dipilih untuk membeli belah di pasaraya Giant Bandar Putra Permai. Namun disebabkan ada di kalangan mereka yang tidak dapat menyertainya kerana uzur atau masalah kesihatan, maka jumlahnya kelihatan kurang.

Bagaimanapun, untuk kes sebegini, kita akan minta Jawatankuasa Pengurusan DUN untuk menghantar barang keperluan ke rumah mereka,” katanya apabila ditemui.

Jelasnya, DUN akan memperuntukkan sejumlah 100 orang warga emas bagi setiap sesi ‘Jom Shopping’ dan tidak menolak kemungkinan akan menambah jumlah peserta pada masa akan datang.

Tambahnya, pelaksanaan program seumpama ini berjaya membuktikan keprihatinan kerajaan Selangor dalam memelihara kebajikan rakyat dan menghargai sumbangan warga emas kepada pembangunan negeri.

Katanya, ia secara tidak langsung memberi peluang kepada golongan ini untuk membeli barang keperluan harian serta dapat mengurangkan kos sara hidup yang tinggi.

“Tujuan program ini bukan sahaja untuk memastikan golongan warga emas boleh berbelanja melalui pemberian baucar sebanyak RM100, tetapi turut memberi peluang kepada mereka untuk berjumpa pimpinan kawasan terpilih,” ujarnya.


Pengarang :