Kerajaan Negeri Akan Ambil Tindakan Pada Kilang Batu-Bata | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

fairuz tahir

Kerajaan Negeri Akan Ambil Tindakan Pada Kilang Batu-Bata

KUALA SELANGOR, 15 APR : Tindakan sebuah syarikat kilang batu bata membuat perjanjian dengan sekumpulan tujuh pemohon tanah seluas 21 ekar di Ijok disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab kerana tanah tersebut adalah hakmilik Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya memandang serius perkara ini disebabkan tindakan dilakukan syarikat itu membelakangkan Kerajaan Negeri sebagai pemilik.


Malah, katanya, syarikat kilang itu tidak berhak berbuat demikian dan tidak berkuasa bagi membuat sebarang perjanjian.

Menurutnya, Kerajaan Negeri boleh bertindak menyaman syarikat kilang batu bata itu atas tindakan tersebut.

“Kita berhak menyaman kilang batu bata kerana mendatangani satu perjanjian yang dia tidak mempunyai hak. Maka kita perlu berbuat demikian. Kalau tidak macam mana kita nak buat ini (keputusan).

“Mengapa dia (syarikat kilang batu bata) boleh tulis perjanjian macam ini. Siapa yang buat perjanjian tentang perkara ini,” katanya dalam majlis perjumpaan dengan tujuh pemohon tanah itu di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Selangor, Datuk Misri Idris.

Perjumpaan itu diadakan antara Menteri Besar dengan tujuh pemohon tersebut yang membuat rayuan berhubung bayaran premium sebanyak RM790,000 bagi setiap lot.

Manakala tanah berstatus pertanian itu mempunyai jumlah keluasan tiga ekar.

Abdul Khalid berkata, perjanjian antara syarikat itu dan tujuh pemohon tersebut perlu diteliti kerana syarikat tersebut tidak berhak untuk membuat sebarang perjanjian.

Sementara tujuh pemohon tersebut pula boleh membuat pampasan kepada syarikat batu bata tersebut sebagaimana perjanjian sebelumnya.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor meneliti perkara ini supaya satu rumusan boleh dibuat mengenainya.

Misri ketika mengulas perkara itu menjelaskan Pejabat Dearah dan Tanah Kuala Selangor akan menghantar laporan kepada Kerajaan Negeri supaya pihak berkuasa negeri boleh membuat keputusan berhubung perkara itu.

Menurutnya, Kerajaan Negeri berhak membuat sebarang keputusan sama ada menimbangkan permohonan itu atau menolaknya.

“Dari segi pendirian Kerajaan Negeri ialah menyemak kembali permohonan dari tujuh individu yang merayu tadi memandangkan tanah adalah merupakan tanah kerajaan. Kerajaan Negeri berhak ataupun boleh memutuskan jenis nilaian ataupun premium yang perlu dibayar. Setelah disemak tanah dipohon itu ialah tanah bekas kilang batu bata yang telah luput tarikh pajakannya.

“Kerajaan Negeri melalui perbincangan hari ini memutuskan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor menyediakan laporan terkini dan membawa kepada pihak berkuasa negeri untuk Kerajaan Negeri menimbangkan kembali rayuan permohonan dan juga status tanah.

“Kerajaan Negeri telah membuat ketetapan yang tanah belum diusahakan yang dipohon oleh mana-mana pihak maka Kerajaan Negeri boleh menimbangkan atau menolak,” katanya.

Beliau juga mempertikaikan tindakan dibuat syarikat kilang batu bata tersebut yang mendahului Kerajaan Negeri dalam perkara berkenaan.

Katanya, tanah milik kerajaan itu bukan boleh dipindah milik secara mudah hanya menerusi satu perjanjian dibuat pihak lain yang tiada kaitan.

“Adalah tidak wajar syarikat kilang batu bata itu mencadangkan supaya tujuh orang tadi membuat permohonan  disebabkan tanah itu adalah tanah Kerajaan Negeri. Bukan tanah kilang batu bata yang boleh dipindah milik dan sebagainya. Dari segi cara syarikat kilang batu bata dan pemohon ini buat tidak wajarlah.

“Dari segi status tanah pun pertanian. Kilang ini pun macam langgar syaratlah tetapi ketika itu tidak disedari atau perasan,” katanya.

Difahamkan, syarikat kilang batu bata itu memulakan operasinya di kawasan tanah seluas 21 ekar di satu kawasan di Ijok pada 1970 dan berakhir pada 2000 serta tidak diperbaharui selepas itu. Permohonan tujuh individu ke atas tanah itu dibuat pada 2010 selepas satu perjanjian ditandatangani antara mereka dengan syarikat kilang batu bata berkenaan.

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION