Kerajaan Selangor Berkongsi Pandangan Bersama Pemimpin Masyarakat Indonesia | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Admin Selangorkini

Kerajaan Selangor Berkongsi Pandangan Bersama Pemimpin Masyarakat Indonesia

SHAH ALAM, 7 APR: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan rasa bangga atas kesudian kunjungan hormat Adi Sasono yang mengetuai 16 delegasi usahawan dan pemimpin gerakan Islam dari Republik Indonesia.

Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan akhbar memaklumkan Adi yang juga mantan Menteri Koperasi dan Usahawan Kecil dan Sederhana Republik Indonesia mengadakan kunjungan hormat tersebut di pejabat Abdul Khalid di Bangunan SUK, semalam.


Dalam pertemuan tersebut, Menteri Besar berkata, Selangor berbangga atas kesudian Adi menerima jemputan kerajaan negeri untuk hadir dan berkongsi pandangan tentang isu-isu berkaitan kerja sama  serantau.

“Kami amat menghargai pendapat serta pandangan rakan kami dari Indonesia dalam pelbagai aspek pentadbiran dan ekonomi bagi menjana pertumbuhan bermakna untuk rakyat,”  kata Menteri Besar.

Beliau yakin lawatan seperti ini sangat penting dalam  mengeratkan lagi hubungan serantau dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.

Pertemuan tersebut merupakan salah satu program lawatan dua hari  yang dianjurkan oleh kerajaan negeri yang berakhir hari ini. Program lain termasuk jamuan teh oleh pejabat Menteri Besar, pertemuan khas dengan Penasihat Ekonomi Negeri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta sesi perbincangan bersama mahasiswa dan gerakan pemuda.

Adi dalam program tersebut antara lain berkongsi pandangan tentang kedekatan (persamaan) Malaysia dan Indonesia yang mesti dimanfaat untuk kebaikan semua.

Beliau menjelaskan bahawa reformasi lazimnya mengambil masa tetapi mesti dipandu oleh nilai moral yang tinggi kerana pembangunan infrastruktur tidak akan dapat bertahan tanpanya.

Dalam pesanannya kepada golongan muda, beliau menegaskan bahawa kebebasan cukup penting untuk membolehkan potensi individu dan negara dimanfaat sepenuhnya. Menurutnya, demokrasi ekonomi tidak akan dapat dicapai tanpa demokrasi politik kerana secara prinsipnya ia sentiasa bergandingan.

Adi, yang popular di Indonesia dengan gagasan Ekonomi Kerakyatan kini merupakan Ketua Umum Yayasan COOP Republik Indonesia dan merupakan tokoh penting yang menggerakkan  reformasi dasar di negara itu ketika kepimpinan Presiden Habibie.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION