NASIONAL SELANGOR

Kes Hannah Yeoh Sekali Lagi Menunjukkan Polis Berat Sebelah

SHAH ALAM, 22 APR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi didakwa bertindak berat sebelah kerana memanggil pemimpin Pakatan Rakyat untuk memberi keterangan hanya kerana mempersoalkan program Umno-BN.

Sehubungan itu MP Puchong, Gobind Singh Deo menyarankan agar PDRM bertindak adil dan saksama dengan tidak memihak kepada pemimpin gagasan Umno-BN.

MP Puchong, Gobind Singh Deo berkata, PDRM seharusnya mengambil kira fakta terhadap sesuatu isu dan bukannya bertindak melulu jika ia melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat.

“Polis seharusnya membuat siasatan dahulu berkaitan isu membabitkan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh yang didakwa memfitnah MCA,” katanya ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Gobind mengulas tindakan PDRM memanggil Hannah ke Balai Polis SS17, Subang Jaya semalam untuk memberi keterangan tentang kenyataannya yang mempersoalkan satu program MCA di kawasannya baru-baru ini.

Pada permukaannya, program tersebut memberi perkhidmatan kesihatan percuma, akan tetapi Hannah mendakwa MCA menggunakannya untuk tujuan yang lain.

Sejurus selepas kenyataannya dikeluarkan menerusi laman blognya, MCA membuat laporan polis terhadap Hannah dan beliau dipanggil PDRM.

Gobind dan Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan dan wakil-wakil penduduk adalah antara orang yang menemankan Hannah ke balai polis tersebut.

Selepas beliau memberi kenyataan kepada PDRM, Hannah menulis di dalam blognya dan mengatakan beliau mewakili penduduk Subang Jaya dan boleh mempersoalkan sebarang perkara yang menimbulkan syak wasangka.

Beliau juga menyoal sejak bila MCA menjadi kebal kepada undang-undang.

Sebelum ini, pemimpin Pakatan mempersoalkan sikap polis yang seolah-olah lepas tangan terhadap laporan jenayah yang dibuat oleh pemimpin gagasan itu.

Contohnya, ADUN Sekinchan Ng Suee Lim pernah dipukul oleh samseng semasa membuat lawatan ke Tanjong Karang pada 4 Nov 2010 tetapi sehingga sekarang tidak ada apa-apa tindakan daripada PDRM.

Pada Februari lepas, seorang wartawan di Pulau Pinang cedera apabila sekumpulan ahli Umno menyerang sebuah himpunan bagi membantah loji Lynas di Georgetown.

Begitu juga serangan sekumpulan 50 orang berbaju hitam terhadap perkhemahan aktivis di Dataran Merdeka minggu lalu di mana anggota PDRM yang ada di situ didakwa melihat sahaja perkara itu berlaku.

Gobind Singh berkata PDRM seharusnya menyiasat laporan yang dikemukakan NGO Bersih 2.0 yang menuntut Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) membersihkan senarai nama pengundi yang meragukan.

“Jika polis menggunakan undang-undang untuk semua pihak, seharusnya polis menjalankan siasatan terhadap laporan mengenai senarai pengundi yang meragukan,” jelasnya lagi.

“Jika polis hendak siasat Hannah Yeoh, polis juga semestinya menyiasat pelbagai perkara lain contohnya isu Bersih 3.0,” katanya.


Pengarang :