NASIONAL

Kes Umno Tg Karang Jual Tanah Akan Ke SPRM

SHAH ALAM, 16 APR: Isu dua lot tanah kerajaan negeri di Tanjong Karang yang didakwa telah di jual oleh Umno akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.

Peguam Nasa Khan yang diamanahkan oleh PAS Tanjong Karang untuk menguruskan kes ini berkata isu tersebut mempunyai asas pendakwaan yang kuat.

“Tindakan kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) menganugerahkan tanah milik kerajaan negeri kepada parti yang dianggotainya merupakan satu tindakan yang mendedahkan diri mereka kepada pendakwaan rasuah.

“Lebih berat lagi apabila tanah yang berstatus hak milik¬† kerajaan negeri itu dijual kepada pihak lain tanpa pengetahuan pihak kerajaan negeri,” kata beliau yang juga salah seorang dari AJK Lajnah Guaman PAS Pusat.

Sebelum ini, pemimpin BN ketika menerajui pentadbiran negeri Selangor telah menganugerahkan dua bidang tanah bernombor hak milik HSD 10440, nombor lot PT115, terletak di Pekan Tanjung Karang.

Tanah seluas 4,370 meter persegi itu kemudiannya dijual kepada Bumi Utama Building Material Sdn Bhd sekaligus membolehkan Umno memperolehi keuntungan mudah.

Syarikat yang sama telah mengemukakan permohonan untuk mendirikan sebuah hotel di atas tanah terbabit, tetapi telah ditolak dalam satu mesyuarat Ahli Majlis Kuala Selangor.

Selain itu, tanah bernombor Hakmilik HSD 15384 dan lot PT 303, seluas 12,100 meter persegi atau atau 3.195 ekar yang terletak di Jalan Sungai Kajang, Tanjung Karang didakwa turut dianugerahkan kepada Umno Bahagian Tanjung Karang.

Menurut sumber bangunan Umno akan didirikan di atas tanah milik kerajaan negeri tersebut.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar juga merupakan Ketua Umno Bahagian Tanjong Karang.

Menurut Nasa, dari segi undang-undang kerajaan negeri berhak memberi tanah kepada sesiapa sahaja, termasuk kepada parti politik.

“Kuasa ini memang ada pada pihak berkuasa negeri mengikut Kanun Tanah Negara.

“Namun apabila Exco yang dikuasai sesuatu parti politik memberi tanah kepada parti tersebut maka terdapat elemen-elemen kronisme dan rasuah.

“Sebagai contoh sekiranya Exco meluluskan tanah kepada salah seorang anggota atau keluarga Exco yang hadir dalam mesyuarat yang meluluskannya, maka anggota Exco tersebut terdedah kepada pendakwaan rasuah.

“Dalam kes ini majoriti Exco yang terlibat memberi tanah kepada parti politik mereka sendiri.

Menurut Nasa, kes ini menjadi lebih kuat apabila tanah yang diberikan kepada Umno itu terdapat struktur bangunan yang dibina oleh kerajaan negeri dengan menggunakan dana awam.

“Apa yang lebih pelik lagi ialah bahawa tanah yang diberi itu telah ada bangunan balai raya, maka sekaligus balai raya yang didirikan dengan wang awam telah dihadiahkan kepada Umno! Ini jelas salah laku yang seharusnya disiasat oleh SPRM,” ujarnya lagi.

Selain itu, Nasa turut memberitahu TVS, beliau dan wakil masyarakat Tanjung Karang akan melaporkan kes ini ke pengetahuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam sedikit masa lagi.


Pengarang :