NASIONAL

Keselamatan Lim Guan Eng Semakin Terancam

SHAH ALAM, 1 APRIL : Media kawalan Umno-BN, Utusan Malaysia dan TV3 bertanggungjawab ke atas keselamatan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, kerana berulang kali menyiarkan berita fitnah menyatakan beliau adalah penyebab kepada kehilangan tanah masjid di negeri tersebut.

Pegawai Khas Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari dalam kenyataan akhbarnya berkata, berikutan laporan media itu, keselamatan Guan Eng secara peribadi kini terancam.

“Keselamatan awam Ketua Menteri Pulau Pinang tidak boleh diambil ringan ekoran fitnah bahaya dan rasis yang dimainkan Umno, TV3 dan Utusan Malaysia bahawa kononnya beliau telah menyebabkan kehilangan tanah masjid. Susulan daripada itu, Guan Eng sendiri telah diancam secara peribadi oleh Perkasa dan pemimpin UMNO yang mengugutnya dengan keganasan dan bahasa yang penuh kebencian.

“Fitnah ini telah disiarkan secara berulang kali di kaca televisyen serta media cetak kawalan Umno-BN untuk mencetuskan kebencian terhadap masyarakat bukan Melayu dan Islam khususnya kepada Guan Eng,” katanya.

Menurutnya, fitnah dibuat Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Shaik Hussein Mydin, bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Puteh itu telah menjual atau melenyapkan tanah masjid tidak boleh diambil ringan seperti jenaka April Fool.

Katanya, walaupun Guan Eng membidas dakwaan itu sebagai fitnah terdesak Umno Pulau Pinang untuk memenangi kembali sokongan orang Melayu di negeri itu namun TV3 dan Utusan Malaysia masih lagi meneruskan usaha untuk menyiarkan fitnah bahaya tersebut.

Tambahnya, media kawalan Umno-BN bukan sahaja tidak menyiarkan kenyataan balas Ketua Menteri Pulau Pinang malah kenyataan penjelasan Datuk Seri Nazir Ariff selaku Timbalan Pengerusi pemaju yang telah memenangi tender terbuka untuk tanah Bayan Mutiara seluas 102.3 ekar juga tidak disiarkan.

“Ini adalah amat tidak bertanggungjawab dan tidak beretika. Ramai di antara rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam berasa terganggu dengan fitnah yang dimainkan dan telah meminta penjelasan daripada Guan Eng. Mereka berasa amat terkejut apabila sedar bahawa dakwaan ini hanyalah fitnah jahat Umno.

“Tidakkah tindakan Umno, TV3 dan Utusan Malaysia untuk memainkan fitnah perkauman dan agama terhadap seorang pemimpin bukan Melayu dan Islam ini boleh dianggap sebagai tindakan yang berdosa? Yang lebih teruknya, ia juga boleh menjejaskan keselamatan Ketua Menteri. Ramai orang awam terutamanya yang beragama Islam sudah pun menasihati supaya Ketua Menteri lebih berhati-hati,” ujarnya.

Zairil berkata, Jumaat lalu, Perkasa melakukan demonstrasi terhadap Guan Eng atas dasar fitnah tersebut di Komtar dan dimaklumkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu telah berkelakuan secara tidak beradab dan ganas sampai mengugut untuk menentang Ketua Menteri secara peribadi seperti dilaporkan dalam New Straits Times semalam sekiranya Ahli Parlimen Bagan itu tidak menjawab dalam masa tujuh hari.

“Adakah Perkasa akan menganjurkan demonstrasi sama dan membuat ugutan sama terhadap Umno jika dakwaan ini dibuktikan sebagai fitnah dan pembohongan?,” soalnya.

Beliau berkata, ugutan ganas Perkasa inilah yang dibimbangkan penyokong Ketua Menteri yang beragama Islam maka untuk itu, Umno, TV3 dan Utusan Malaysia diberi amaran bahawa mereka akan bertanggungjawab sekiranya keselamatannya terjejas.

Katanya, polis juga harus mengambil berat tentang impak fitnah dibuat Umno itu.

“Ini bukan pertama Ketua Menteri diserang dengan fitnah. Malah, anaknya juga telah difitnah oleh Umno-Online yang mendakwa bahawa dia telah mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan dan juga kononnya Ketua Menteri telah membayar RM200,000 sebagai sogokan untuk menutup skandal tersebut. Walaupun kejadian ini telah dibuktikan sebagai fitnah, sampai sekarang tidak ada tindakan diambil oleh polis.

“Tindakan ini juga bercanggah dengan konsep 1Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan tidak serasi dengan objektif untuk membangunkan masyarakat berbilang kaum yang bersatu dan harmoni,” katanya.


Pengarang :