Lagi 3.2 Ekar Diserah Pada Umno Tanjong Karang | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Admin Selangorkini

Lagi 3.2 Ekar Diserah Pada Umno Tanjong Karang

SHAH ALAM, 10 APR: Pemimpin Umno ketika menerajui kerajaan negeri sebelum ini sekali lagi didapati menyalahguna kuasa dengan memindah milikan tanah milik kerajaan negeri kepada Umno Tanjong Karang demi kepentingan parti dan politik individu tertentu dalam parti itu.

Dalam satu carian rasmi yang dibuat mengikut Seksyen 385, Kanun Tanah Negara yang diperolehi dari Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Selangor telah mendapati tanah tersebut telah dipindah milik kepada Umno Tanjung Karang pada 3 Ogos 2005

Tanah seluas 12,100 meter persegi atau atau 3.195 ekar tersebut terletak di Jalan Sungai Kajang, Tanjung Karang, bernombor Hakmilik HSD 15384 dan lot PT 303.


Demikian menurut satu lagi pendedahan berhubung tindakan salahguna kuasa Umno ketika berkuasa yang dibuat oleh Naib Yang DiPertua Pas Tanjung Karang, Misran Serman baru-baru ini.

“Saya dah teliti dokumen rasmi pejabat tanah dan memang tanah yang asalnya milik Kerajaan Negeri kini telah dimiliki oleh Umno Tanjung Karang.

“Ini jelas merupakan salah guna kuasa mempergunakan kuasa yang ada di dalam kerajaan untuk kepentingan parti politik dan peribadi.

“Ini merugikan rakyat Selangor kerana Kalau tanah ini dibangunkan kerajaan negeri, semua lapisan masyarakat dapat manfaatnya, tetapi bila diserah kepada Umno, Umno sahajalah yang dapat manfaatnya,” kata Misran.

Menurut Misran, sebuah syarikat swasta, Bumi Utama Constructions yang beralamat di 12-02, Tingkat 1, USJ 21/4, UEP Subang Jaya, Selangor turut mempunyai kepentingan atas tanah tersebut apabila syarikat terbabit mengkaveat tanah itu pada 3 Ogos 2007.

“Selain itu, tanah tersebut telah dikaveatkan oleh Bumi Utama Constructions pada Ogos 2007,” katanya lagi.

Kaveat Persendirian (Private Caveats) adalah kaveat atau sekatan yang boleh dimasukkan oleh individu atau badan persendirian yang mempunyai kepentingan ke atas sesuatu tanah.

Apabila kaveat dikenakan kepada mana-mana hartanah, hartanah tersebut tidak boleh dipindah milik, dipajak atau digadai dengan kebenaran pihak berkuasa dan pihak yang membuat kaveat itu untuk jangkamasa sekurang-kurangnya enam tahun.

Misran yang juga merupakan Ahli Majlis Kuala Selangor turut memberitahu satu permohonan untuk mendirikan bangunan yang dinamakan Kompleks umno Bahagian Tanjung Karang telah dikemukakan kepada Majlis Daerah terbabit.

“Saya difahamkan dalam mesyuarat Ahli Majlis Majlis Daerah Kuala Selangor, kompleks Umno akan dibina di situ, tetapi tak tahu bila mula,” katanya lagi.

Terdahulu, beberapa isu berkaitan pemilikan tanah secara meragukan turut dibangkitkan oleh beberapa pemimpin setempat yang membabitkan Umno Tanjung Karang.

Antara yang didedahkan termasuk pemilikan tanah bekas milik Kerajaan Negeri Selangor bernombor hakmilik HSD 10440, nombor lot PT115, terletak di Pekan Tanjung Karang yang diserahkan kepada Umno Bahagian Tanjung Karang.

Tanah seluas 4,370 meter persegi itu kemudiannya dijual kepada Bumi Utama Building Material Sdn Bhd sekaligus membolehkan Umno memperolehi keuntungan mudah.

Syarikat yang sama telah mengemukakan permohonan untuk mendirikan sebuah hotel di atas tanah terbabit, tetapi telah ditolak dalam satu mesyuarat Ahli Majlis Kuala Selangor.

Pada masa ini Umno Tanjung Karang menempatkan bilik gerakan Barisan  Nasional, Pejabat Ahli Parlimen Tanjung Karang dan sebuah dewan gimnasium yang telah dikosongkan.

Misran turut memberitahu TVS pagi ini, satu laporan polis dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan dibuat dalam sedikit masa lagi.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION