Mahasiswa Terus Berkampung Di Dataran Merdeka | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Zharif Zulkiffeli

Mahasiswa Terus Berkampung Di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Protes mahasiswa mansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diteruskan pada hari kelima hari ini.

Bagaimanapun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya membenarkan dua buah khemah didirikan di kawasan perkampungan mahasiswa di samping meminta mereka menjaga kebersihan kawasan sekitar.


Persetujuan ini dicapai kedua-dua pihak selepas perbincangan dibuat dan mahasiswa sendiri mengambil keputusan untuk menurunkan sendiri khemah tanpa sebarang kekasaran daripada pihak berkuasa.

Pada jam 8.30  pagi,  Pegawai Bertugas DBKL, Tuan Zawaye,  hadir meminta mahasiswa mengosongkan tempat perkhemahan kerana melanggar peraturan Undang-undang kecil Dataran Merdeka dan meminta mereka berbuat demikian dalam tempoh lima minit.

Dalam pada itu, Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Zaini berkata, hingga kini mereka tidak menghadapi sebarang masalah ekoran sokongan pelbagai pihak yang turut hadir membantu.

“Kami akan kekal berkhemah di sini. Buat sementara waktu bilangan khemah akan dikurangkan sebagai menghormati mereka di atas pertimbangan toleransi. Untuk sebelah petang dan malam, kami akan dirikan khemah semula untuk sesi kuliah,” katanya.

Beliau menambah,  hari ini mereka akan membuat kelas Bahasa Mandrin dan Bahasa Arab bagi meneruskan sesi pengajian di Universiti Dataran Merdeka.

Semalam, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said hadir memberikan kelas puisi dan sastera kepada mahasiswa bagi membangkitkan semangat mereka untuk terus kekal berkampung di sini.

Setakat ini enam buah khemah dirampas oleh DBKL sejak Ahad lalu.

Dataran Merdeka berjaya ‘ditakluki’ kumpulan mahasiswa pada 14 April lalu selepas berakhirnya Himpunan Mansuh PTPTN yang berjaya menarik hampir 500  orang penyokong.

Mahasiswa akan terus berada di Dataran Merdeka sehingga 28 April menunggu kehadiran penyokong untuk Himpunan Bersih 3.0 Duduk Bantah bagi menuntut sistem pilihanraya yang bersih dan adil.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION