NASIONAL SELANGOR

Mahfuz: GST Buat BN Tersepit, Adakan PRU-13 Sebelum 11 Jun?

SHAH ALAM, 19 APR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini berada di dalam keadaan tersepit apabila dipaksa bergelut di antara membentangkan Rang Undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) secepat mungkin dengan tarikh sesuai untuk mengadakan pilihan raya.

Keadaan tersebut juga dikatakan akan mendorong Najib terpaksa membubarkan parlimen sekaligus memberi laluan untuk Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan sebelum parlimen bersidang semula pada 11 Jun akan datang.

“Pilihan raya akan diadakan sebelum sidang parlimen yang sepatutnya berlangsung akan datang ini pada 11 Jun.

“Bermakna dia kena buat pilihan raya sebelum itu bagi membolehkan sekiranya kalau BN menang dia boleh panggil sidang parlimen lebih kurang seminggu atau berganjak seminggu.

“Selepas angkat sumpah, mereka panggil sidang parlimen bermula dan agenda pertama adalah GST dibentangkan untuk diluluskan.

“Dalam tempoh sebulan selepas itu ia akan dilaksanakanlah,” ujar Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar kepada TVS.

Menurut Mahfuz, ianya disebabkan kewangan kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) hari ini semakin parah akibat sikap boros pemimpin parti itu berbelanja.

“Jadi sebab itu mereka berada di dalam keadaan tersepit, nak buat sebelum pilihan raya, nanti akan menyebabkan rakyat marah sebab tertekan dan menyebabkan BN kehilangan undi.

“Nak tunggu lepas pilihan raya, keadaan kewangan negara berada dalam keadaan begitu terdesak disebabkan pemborosan dan pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan.

“Jadi sebab itu saya percaya pilihan raya akan diadakan dalam tempoh yang terdekat ini untuk membolehkan GST dibentangkan secepat yang mungkin,” kata beliau lagi.

Mahfuz juga memaklumkan kepada TVS, Najib sebelum ini turut mengakui GST akan dilaksanakan selepas pilihan raya umum akan datang ini.

“pembentangan usul Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) masih ada dalam aturan mesyuarat setiap kali persidangan parlimen, cuma dia berada di peringkat bawah.

“Semenjak pembentangannya kali pertama dia tak pernah ditarik balik cuma dia dikebelakangkan bermakna dia tak pernah terkeluar dari aturan mesyuarat.

“Sudah tentu sampai suatu ketika nanti ianya akan dibentangkan dan dah dimaklum bahawa Najib sendiri sudah mengaku bahawa GST akan dilaksanakan selepas pilihan raya,” ujar Mahfuz.

Dalam isu GST, Mahfuz turut menyamakan BN pada masa ini bagaikan seorang penyembelih yang sedang menaburkan beras untuk mengumpan ayam, tetapi pada  masa sama menyorokan pisau sembelihan di belakangnya.

“Mereka tahu, kalau mereka bentang sekarang bermakna mereka menyembelih leher mereka sendiri.

“Sebab itu pada masa ini mereka umpama menabur beras kepada ayam tetapi menyorokkan pisau dibelakang untuk menyembelih ayam-ayam tersebut.

“Inilah nasib yang akan diterima oleh rakyat sekiranya memilih BN dalam pilihan raya nanti,” ujarnya lagi.

Semalam, seperti yang dijangka, kerajaan sekali lagi menangguhkan bacaan Rang Undang-Undang GST buat kali ketiga selepas pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat semenjak tahun 2009.


Pengarang :