NASIONAL SELANGOR

Mahfuz: PR Mahu Mansuhkan PTPTN Kerana Bebankan Pelajar

SHAH ALAM, 20 APRIL : Ketirisan dana rakyat, amalan rasuah dan kronisme yang  berleluasa selain keborosan melampau dalam pentadbiran negara merupakan antara punca Gagasan Pakatan Rakyat ingin memansuhkan skim pinjaman pelajaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ini antara reaksi disebalik laporan media milik Umno hari ini yang cuba menimbulkan isu sokongan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang mulanya bersetuju dengan Rang Undang-undang PTPTN sebelum ini tetapi mahu membubarkannya setelah memberi impak buruk masa depan pelajar.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata tidak timbul isu ‘dahulu setuju, sekarang bangkang’ seperti yang dimainkan oleh akhbar milik Umno itu kerana sokongan tersebut adalah untuk kepentingan rakyat sebaliknya kini berubah kepada satu bebanan terlampau kepada rakyat.

“Dahulu kita melihat ianya (PTPTN) tidak memberi bebanan seperti hari ini, maka cadangan kita (PR) untuk membubarkan PTPTN adalah mengikut kepada situasi hari ini.

“Pada ketika itu kita melihat pendapatan negara tidak selumayan sekarang, sudah tentu ia memerlukan kepada skim pinjaman pelajaran.

“Tetapi hari ini kita lihat negara dengan pendapatan lumayan sebaliknya melakukan banyak ketirisan yang sepatutnya dilakukan untuk menampung kos pinjaman itu,”ujarnya.

Utusan Malysia hari ini melaporkan PR menyokong Rang Undang-Undang PTPTN ketika dibentangkan pada 1997.

Selain itu, Utusan turut mempertikaikan hasrat PR untuk memansuhkan skim pinjaman pelajaran tersebut sekiranya berjaya mentadbir kerajaan pusat selepas Pilihanraya Umum-13 akan datang seperti yang dinyatakan oleh  Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut berhubung laporan Utusan itu, Mahfuz menyifatkan ia sebagai sebuah laporan yang dungu dalam mencari hujah membela tuannya (kerajaan).

“Apa yang menjadi masalah sekirannya dahulu kita (PR) setuju dan kini bangkang, sedarkah Utusan bahawa undang-undang ISA dahulunya diujudkan oleh Umno-BN dan ia dihapuskan juga oleh mereka.

“Laporan akhbar seperti itu hanya membodohkan mereka yang berusaha bertungkus lumus membela kerajaan Umno-BN,”jelasnya ketika dihubungi Media Selangor.

14 April lalu, kerajaan berdepan dengan kebangkitan rakyat khususnya anak muda yang mengambil jalan untuk berdemonstrasi di ibu negara bagi mengkritik kegagalan kerajaan menjaga kebajikan dan hak mereka.

Gerakan rakyat itu juga mendesak supaya pihak kerajaan memansuhkan PTPTN dan menyediakan pendidikan percuma untuk rakyat.

Mereka juga sebulat suara melontarkan pendirian bahawa pendidikan adalah milik semua dan bukan untuk diperdagangkan.


Pengarang :