Selangorkini
NASIONAL

Mahfuz: Tibai Macam Sitcom Komedi

SHAH ALAM 24 APRIL : Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Penubuhan Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) sebagai satu lawak jenaka yang layak dijadikan satu sitcom komedi.

Kelab TIBAI yang dilancarkan pada 22 April lalu diwakili 28 orang Ahli Majlis Syura yang terdiri daripada bekas-bekas pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk bekas Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Muhammad Zahid Md Arip sebagai Mursyidul Amnya, Johari Md Yassin, Ng Lum Yong, Wan Indra Putra, Ruslan Kassim, Nazmi Rusly, Ummi Hafilda Ali, Hamidzun Khairuddin, Anuar Shaari dan Rahimi Osman, manakala Datuk Zulkifli Nordin dan Senator Ezam Mohd Noor merupakan penasihat TIBAI.

Penubuhan itu dikatakan bertujuan untuk menolak Ketua Umum PKR itu daripada menjadi perdana menteri dan seterusnya daripada arus politik semasa.

Mahfuz berkata tujuan ‘penglipur lara’ itu ditubuhkan hanya dilihat sebagai satu perjuangan yang mengharap upah daripada Umno-BN.

“Pilihanraya semakin hampir dan golongan ini amat terdesak kerana takut tidak dipilih oleh pemimpin Umno untuk menjadi calon.

“Golongan ini akan menggadai apa sahaja yang ada termasuk isu-isu moral yang membabitkan fitnah, prono dan sebagainya sebagaimana dilakukan Umno selama ini.

“Ini adalah kerana TIBAI memberikan sokongan yang padu dan jitu kepada Umno-BN.

“Mereka ini hanya untuk memenuhi upah Umno-BN dan hanya untuk meraih undi rakyat bagi membantu mereka bertanding pada Pilihanraya Umum (PRU13) yang akan datang.

“Jika tidak mengapa Zahid menyatakan kesanggupan untuk bertanding menentang Anwar di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya akan datang, kononnya jika peluang itu diberikan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata sudah menjadi budaya Umno-BN mempengaruhi rakyat semata-mata untuk meraih undi dengan menyerang peribadi orang lain termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambah Mahfuz, hal ini jelas membuktikan Umno-BN membawa sekumpulan ‘penglipur lara’ itu untuk menyampaikan politik kotor mereka yang langsung tidak berteraskan kepada pembangunan daya fikir.

“Rakyat sepatutnya sedar siapakah mereka ini sebenarnya. Mereka hanyalah pemimpin yang mementingkan kepentingan diri daripada rakyat.

“Mereka sepatutnya mencari idea untuk membela nasib rakyat, mengatasi masalah kos hidup dan membangunkan Negara. Bukannya menyelitkan unsur-unsur fitnah untuk menjatuhkan individu lain,” katanya.


Pengarang :