SELANGOR

Mangsa Banjir Di Klang Akan Terima Bantuan Tambahan RM500

SHAH ALAM, 4 APR : Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk menambah bantuan yang sebelum ini dicadangkan RM300 kepada RM500 untuk satu isi rumah yang terlibat dengan banjir kilat di beberapa kawasan di Klang pada Jumaat 30 Mac lalu.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika sidang media selepas Mesyuarat Exco Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Menurut Abdul Khalid terdapat dua kategori golongan yang mendapat bantuan tersebut iaitu bantuan dari pihak pejabat zakat dan bantuan dari mereka yang tidak menerima bantuan zakat.

“Mangsa yang layak mendapat bantuan zakat sebanyak RM300, Kerajaan Negeri akan menambah sebanyak RM300 menjadikannya RM600.

“Manakala bagi yang tidak menerima bantuan dari pejabat zakat, kerajaan negeri akan menambah lagi sebanyak RM200 lagi disamping RM300 yang dijanjikan kerajaan negeri sebelum ini menjadikan mereka akan menerima sebanyak RM500.

Sehubungan itu, Abdul Khalid menggesa Menteri Pendidikan dan Kerajaan Pusat memberikan bantuan kepada dua sekolah di daerah Klang yang mengalami kerosakan akibat banjir supaya sekolah terbabit dapat berfungsi semula.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Pembangunan Modal Insan, Halimah Ali menyatakan sekolah terbabit menyediakan pendidikan khas untuk kanak-kanak istimewa dan sesi pembelajaran akan terjejas jika tidak mendapat bantuan dan perhatian sewajarnya.

Kerajaan Negeri juga turut bercadang memberikan sebanyak RM5,000 hingga RM10,000 kepada 2 buah sekolah yang mengalami kerosakan akibat banjir tersebut.

Selain itu, Abdul Khalid turut menafikan kenyataan yang di buat oleh Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkaitan banjir kilat di Klang berpunya dari kesilapan Kerajaan Negeri.

” Banjir kilat berpunca daripada kunci air yang tidak berfungsi, ini merupakan tanggungjawab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) adalah agensi milik Kerajaan Pusat,” jelas Abdul Khalid lagi.

Banjir kilat pada Jumaat 30 Mac telah melanda di beberapa kawasan di daerah Klang dan mengakibatkan lebih 1000 penduduk mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda.


Pengarang :