SELANGOR

MB: Jepun Akan Tingkat Jumlah Pelaburan

BANDAR TUN RAZAK 27 APR: Syarikat daripada negara Jepun akan mempertingkatkan jumlah pelaburannya di Selangor secara berterusan pada masa akan datang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, dalam lawatannya ke Jepun baru-baru ini, syarikat gergasi yang beroperasi di negeri itu antaranya Toyota, Hitachi, Panasonic dan Canon percaya bahawa negeri Selangor menawarkan peluang dan ruang untuk mereka meningkatkan pelaburan dari masa ke semasa.

Katanya, hal ini kerana syarikat terbabit percaya dengan kepimpinan yang bebas dari rasuah.

“Itu janji kita melalui beberapa langkah untuk memberikan keyakinan kepada pelabur asing, kerajaan negeri memastikan iklim pelaburan sentiasa kondusif melalui pelaksanaan dasar pelaburan yang pragmatik dan telus,” katanya ketika berceramah menjelang Bersih 3.0 esok di sini.

Hadir sama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Menteri Persekutuan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Tambah Abdul Khalid, kerajaan negeri turut meminta syarikat terbabit mengurangkan pekerja asing di negeri ini.

Katanya, pengurangan ini  memberi laluan kepada rakyat tempatan mempelajari bidang kemahiran seterusnya dapat menyelaraskan gaji mereka dengan pekerja dari negara Jepun.

“Rakyat tempatan mesti diberi keutamaan, diberi peluang mempelajari kemahiran di syarikat mereka. Dengan cara ini rakyat tempatan tahu erti kemajuan.

“Perjanjian itu dipersetujui oleh mereka kerana mereka tidak mahu rugi dan rakyat tempatan akan dapat keuntungan dari pembangunan,” katanya.


Pengarang :