SELANGOR

MBPJ Rancang Banyak Pembangunan Untuk Keselesaan Penduduk

KOTA DAMANSARA 7, APRIL : Selaras dengan pengiktirafan empat bintang daripada Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan pada tahun 2011, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan melaksanakan beberapa projek bagi kemudahan warga Petaling Jaya untuk tahun 2012.

Antaranya, Program Basikal Lane di sepanjang 56 kilometer (km) di kawasan ‘Green Corridor’ yang menghubungkan antara satu taman ke taman lain.

Selain itu, turut dibangunkan program bandaraya ‘Low Carbon City’, rebat cukai taksiran, pemasangan lampu LED di lorong belakang, sistem tadahan air hujan, mewujudkan PJ Walk, program pembangunan urban dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM10 bilion.

Datuk Bandar, Datuk Mohamad Roslan Sakiman berkata, MBPJ juga akan meningkatkan peranan ‘Road Gang’ bagi memantau jalan di sekitar Petaling Jaya supaya berada dalam keadaan baik.

Katanya, bagi suku tahun pertama ini, MBPJ meluluskan 18 projek dengan keluasan keseluruhannya 3.5 juta kaki persegi dan nilai GDVnya mencecah RM1.7 bilion.

Beliau berkata, projek itu akan dilaksanakan bagi membangunkan kawasan Petaling Jaya sebagai bandaraya ‘non capital city’.

“MBPJ juga akan meneruskan kempen kutu sampah di kawasan Zon Bersih. Semua pemilik kedai dan masyarakat akan dikenakan denda jika membuang sampah merata-rata,” katanya di Majlis Perlancaran Zon Bersih Peringkat MBPJ 2012.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, MP Subang, R Sivarasa dan Adun Taman Medan, Haniza Talha.

Tambahnya, seramai 150 kontraktor dilantik bagi menguruskan sisa pepejal selepas MBPJ mengambil alih pelaksanaan kutipan sampah bermula Mac lalu.

“Seramai 60 pegawai khas dilantik MBPJ bagi mengawasi kontraktor terbabit yang mana kontraktor itu diberikan percubaan selama tiga bulan,” katanya.

Sehubungan itu, MBPJ akan mengatur semula kerja-kerja pembersihan di kawasan komersial yang mana kontraktor yang dilantik akan memulakan kerja pembersihan seawal 4 pagi bagi mengelakkan daripada gangguan dan kesesakan lalu lintas.

“Keadaan ini berbeza dengan kontraktor yang dilantik oleh Kerajaan Pusat sebelum ini,”katanya.

Dalam majlis itu juga, Dataran Sunway dipilih sebagai Zon Bersih peringkat MBPJ 2012.

Program Zon Bersih bertujuan menjadikan negeri Selangor sebagai sebuah negeri bersih berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.


Pengarang :