Selangorkini
SELANGOR

MBSA Difitnah Sebagai Bandaraya Maksiat

SHAH ALAM,18 APRIL : Ahli-ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menafikan dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa Bandaraya Shah Alam kini menjadi “Bandaraya Maksiat” ekoran tuduhan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat dan MBSA memberi kelonggaran dalam memberi lesen judi, minuman keras, rumah-rumah urut dan hotel-hotel bajet.

Jurucakap Ahli-ahli Majlis MBSA,Izham Hashim berkata beliau mencabar pihak-pihak berkenaan yang membuat dakwaan jahat dan fitnah itu supaya memberi bukti dengan angka dan fakta dan menutup mulut jika mereka gagal berbuat demikian.

“MBSA tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen premis baru perjudian sejak Mac 2008 sementara lesen premis baru minuman keras hanya dibenarkan untuk pemborong sahaja dan peruncit di kawasan majoriti orang bukan Islam.

“Lesen rumah-rumah urut telah lama dibekukan kecuali yang betul-betul menjalankan khidmat urut kaki (refleksologi) dan Spa wanita. Hotel-hotel bajet pula dilesenkan mengikut keperluan dan dengan peraturan dan pemantauan rapi,” katanya semasa sidang media di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam di sini.

Menurut Izham lagi, Ahli-Ahli majlis juga turut serta saban minggu bersama-sama pegawai penguatkuasa MBSA dalam serbuan dan lawatan mengejut ke premis yang berlesen dan tidak berlesen bagi tujuan penguatkuasaan sejak dari 2008.

“Hasilnya banyak tempat-tempat maksiat telah ditutup dan barang-barang mereka dirampas. Malah ada juga kes yang kita ambil tindakan undang-undang ke atas pemiliknya,” katanya.

Tambah Izham,beliau mengharapkan kerjasama semua pihak termasuk pihak polis dan Tenaga Nasional untuk lebih tegas dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap premis-premis yang melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Serbuan dan lawatan mengejut itu adalah sebahagian daripada proses berterusan dalam mendidik rakyat supaya menjaga moral dan keharmonian sistem kekeluargaan agar masyarakat akan sentiasa aman dan damai,” ujarnya.


Pengarang :