NASIONAL

MCA P.Pinang Cari Politik Murahan

SHAH ALAM 11 APR : Tindakan Setiausaha MCA Pulau Pinang, Lau Chiek Tuan menggelar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai bermain isu politik dan perkauman disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Politik Guan Eng, Zairil Khir Johari sebaliknya memberitahu tuduhan liar Chiek Tuan dibuat berhubung satu ucapan gurauan Guan Eng yang dimanipulasikan untuk kepentingan politik murahan MCA.

“Sedangkan kenyataan Ketua Menteri dibuat dalam nada bergurau dan tidak sesekali bersifat ugutan seperti didakwa.

“Dan bagaimana pula mereka mendakwa beliau bermain politik di sekolah kerana akhbar yang disebut bukan akhbar politik pun. Lainlah kalau Harakah, Suara Keadilan atau The Rocket,” tegas Zairil dalam kenyataan medianya.

Mengulas isu perkauman yang cuba ditimbulkan MCA, Zairil berkata isu itu tidak seharusnya dibangkitkan kerana kesemua akhbar yang disebut itu adalah berbahasa Melayu.

“Kecenderungan Ketua Menteri untuk mengulas sedemikian hanya kerana baginya laporan yang disediakan akhbar Sinar Harian adalah lebih objektif berbanding Utusan dan Berita Harian.

“Apatah lagi, Utusan sering memainkan isu perkauman hingga menimbulkan ketakutan di kalangan mereka yang berbangsa Melayu dan Cina selain pernah mencadangkan agar peristiwa 13 Mei disambut sebagai hari suci?.

“Adakah pemikiran seperti ini yang MCA rasakan perlu disemai di kalangan kanak-kanak sekolah?” soal Zairil sambil menambah MCA sendiri takut untuk menyatakan sokongan secara terbuka kepada kedua-dua akhbar pro-BN tersebut.


Pengarang :