SELANGOR

MPSJ Lancar Program Hapus Tikus

SERI KEMBANGAN, 23 APR :Bagi memastikan persekitaran bersih dan selamat daripada penyakit bawaan tikus, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melancarkan program Pembasmian Kacau Ganggu Tikus di kawasan komersial Seri Serdang.

Ahli Majlis MPSJ, Sufari Tinin berkata, usaha ini dirancang bagi menjayakan program Zon Bersih di kawasan berkenaan.

Menurutnya, program dijayakan hari ini adalah yang ketujuh di mana pada malam tadi  petugas Jabatan Kesihatan menaburkan umpan beracun bagi memerangkap dan membunuh tikus.

Katanya, ia adalah program gotong royong melibatkan Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 20 dengan kerjasama MPSJ termasuk warga komuniti perniagaan untuk mengutip bangkai tikus.

“Antara kawasan disasarkan ialah pasar awam, medan selera, gerai makan dan kawasan tumpuan awam. Ia juga dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bagi menjaga kebersihan bersama sebagai langkah mencegah penyakit bawaan tikus.

“Dengan program ini, tentunya mewujudkan persekitaran yang lebih baik dan berharap orang ramai tidak membuang sampah merata-rata terutama sisa-sisa makanan yang boleh menjadi sumber makanan tikus,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sufari berkata, program pembasmian itu akan dijalankan secara berterusan iaitu setiap dua minggu.

Beliau berkata, usaha itu juga memberi makna kepada Seri Serdang yang diangkat sebagai bandar hijau pertama di negara ini.

Sebelum ini, bermula 7 Februari hingga 31 Mac lalu sebanyak 263 bangkai tikus dikutip di kawasan sasaran. Antara kawasan terlibat adalah seperti USJ2 dan USJ4 Subang Jaya, Jalan Bandar 1 dan 2, Taman Puchong Permai, Taman Puchong Indah serta SS15 Subang Jaya.


Pengarang :