Pelbagai

MPSJ Menuju Ke Arah Bebas Rasuah

SUBANG JAYA, 19 APR : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) hari ini melancarkan Kempen ‘MPSJ Benci Rasuah’ 2012 dan Pameran Anti Rasuah sebagai inisiatif terhadap usaha menuju ke arah bebas rasuah di kalangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sehubungan itu, pelancaran kempen yang merangkumi Komitmen Integriti MPSJ  ini adalah salah satu usaha dalam usaha memerangi gejala rasuah di kalangan warga kerjanya dan orang awam.

Jesteru itu, Komitmen Integriti ini bertujuan memainkan peranan yang aktif untuk menyedarkan warga MPSJ dari semasa ke semasa dengan beberapa peraturan yang perlu dipatuhi oleh warga kerjanya.

Menurut Timbalan Yang Di Pertua MPSJ, Abdullah Marjunid berkata, kepercayaan dan pandangan orang ramai terhadap badan pentadbiran awam bergantung kepada integriti organisasi tersebut.

Tambahnya, MPSJ kini menuju ke arah suatu perubahan yang lebih positif dengan melakukan beberapa transformasi penambahbaikkan konsep yang diamalkan sekarang.

” Jika kita tidak mengamalkan konsep integriti, MPSJ khususnya dipandang rendah dan secara tidak langsung sokongan orang ramai terhadap kita akan berkurangan,” katanya dalam ucapan di Dewan Kenanga MPSJ hari ini.

Selain itu, dengan adanya inisiatif ini, warga MPSJ dapat mempelajari konsep sebenar integriti seterusnya dapat mewujudkan masyarakat yang bermoral dalam memberikan perkhidmatan kepada penduduk.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohammad dan turut dihadiri oleh pengarah, ahli-ahli majlis serta pegawai dan kakitangan di Dewan Kenanga MPSJ.


Pengarang :