NASIONAL

Nasaruddin: Kaitkan Kes Hina Raja – Umno/BN Tandus Isu

SHAH ALAM 16 APR : Dakwaan kononnya pemimpin pembangkang menghina Raja-raja Melayu sengaja digembar-gemburkan untuk mengaburi mata rakyat daripada pendedahan demi pendedahan kecacatan Umno/BN selain turut bertindak sebagai senjata perkauman menjelang Pilihanraya Umum akan datang ini.

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Tantawi menjelaskan mainan politik murahan sebegini sememangnya sudah dijangka memandangkan Umno/BN ketandusan idea untuk mencari kelemahan Pakatan Rakyat.

“Inilah alternatif terdesak mereka bagi mengalih pandangan rakyat daripada segala penyelewengan dan kepincangan kerajaan pimpinan mereka ketika ini.

“Isu yang cuba dibangkitkan ini juga adalah antara isu mudah untuk menarik perhatian rakyat kerana ini isu sensitif berkaitan institusi Kesultanan dan Raja-raja Melayu.

“Namun, dakwaan yang dibuat itu tidak disertakan dengan bukti walhal menjadi prinsipnya sesuatu tuduhan itu mestilah dinyatakan dengan bukti dan sokongan, bukan sekadar kata-kata seperti budak-budak sekolah yang tidak matang,” ulas Nasrudin ketika dihubungi melalui panggilan telefon petang tadi.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Nasrudin berkata, Umno/BN sendiri dalam catatan sejarah telah berulang kali melakukan kebiadapan terhadap Institusi di Raja.

“Contoh paling jelas ialah sewaktu pemerintahan Tun Dr. Mahathir sehingga golongan Raja-raja pada ketika itu begitu terpukul dan malu dengan tindakan beliau sewenang-wenangnya menidakkan bidang kuasa Sultan.

“Begitu juga keadaan yang berlaku di Kelantan suatu ketika dahulu mengenai krisis pertabalan Sultan selain ucapan provokasi mereka terhadap Sultan. Ini semua kebiadapan yang jelas oleh Umno/BN,” sambung Nasrudin.

Beliau turut yakin Pakatan tiada masalah mengenai cadangan untuk diadakan Siasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan yang dilemparkan Umno/BN asalkan ianya dilakukan secara telus dan adil.

“Jika benar ingin disiasat, harap ia dijalankan dengan saluran yang betul dan tiada motif politik menjatuhkan atau menganiaya pihak lain.

“Bagaimanapun, saya yakin pimpinan Pakatan tidak melakukan perkara seperti didakwa kerana sejak awal kami meletakkan rasa hormat yang tinggi terhadap Raja-raja berasaskan peruntukan undang-undang dan perlembagaan negara,” akhiri Nasrudin.


Pengarang :