SELANGOR

Nelayan Sekinchan Dapat Bot Melalui Program MES

SEKINCHAN APR 13 : Hasrat Persatuan Nelayan Sekinchan untuk memiliki bot kecil bagi bantuan kecemasan akhirnya direalisasikan menerusi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Timbalan Persatuan Nelayan Sekinchan, Tan Thiam Hee berkata, bantuan bot bernilai sekitar RM40,000 itu diperlukan bagi nelayan ketika menghadapi kecemasan.

Bot tersebut mempunyai enjin 60 kuasa kuda, empat tempat duduk dan dilengkapi jaket keselamtan.

?Bot ini akan banyak membantu nelayan menghadapi kecemasan jika ada yang sakit atau mengalami kecederaan dan perlu sampai ke daratan secepat mungkin bagi mendapatkan rawatan segera di hospital serta lain-lain situasi kecemasan lagi.

“Amat sukar jika hendak menggunakan bot besar kerana muara sungai sempit dan akan mengambil masa empat hingga lima jam bergantung kepada pasang surut air,” katanya dipetik menerusi blog DAP Sekinchan.

Beliau berkata demikian sewaktu menerima bot yang disampaikan ADUN  Sekinchan, Ng Suee Lim, di jeti nelayan Sekinchan di sini. Hadir sama wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPENS).

Tambahnya, dengan adanya bot ini, nelayan tidak perlu tunggu air pasang untuk sampai ke dataran.

Thiam Hee turut menyatakan penghargaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri yang sentiasa prihatin terhadap masalah golongan nelayan.

Sementara itu, Suee Lim turut menyatakan perhargaan terhadap keprihatinan Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Negeri Yaakob Sapari terhadap masalah nelayan.

Menurutnya, bot yang sedia ada untuk kecemasan sudah uzur dan nelayan bimbang ia tidak dapat berfungsi dengan baik.

?Dengan adanya bot ini, kebimbangan nelayan dapat diatasi. Apa yang kita harapkan, bot yang diserahkan pada persatuan nelayan ini dapat dijaga dan diselenggara dengan baik dan mereka boleh memanfaatkannya sebaik mungkin dalam menghadapi bencana di laut,? katanya.


Pengarang :