NASIONAL

Nizar : Skandal NFC Buah Mulut Orang Kampung

SHAH ALAM, 12 APR : Skandal projek lembu gergasi Projek Fidlot Kebangsaan (NFC) bukan sahaja mendapat perhatian golongan kelas menengah tetapi sudah menjadi buat mulut orang kampung di Perak.

Menurut bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin isu hutang dan penyalahgunaan dana NFC oleh keluarga bekas menteri Umno telah membuatkan ahli Umno-BN Perak malu untuk berdepan dengan orang kampung.

Tambahnya, Kes lembu NFC begitu mendalam kesannya kepada penduduk kampung seperti di Senggang, Sayong dan Malong di Perak.
Malah, kata Mohammad Nizar, kes NFC dan hubungannya dengan bekas Menteri Kabinet Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan keluarganya akan mempengaruhi sentimen orang Perak di dalam pilihanraya akan datang.

“Kes Shahrizat ini begitu dekat dengan orang kampung kerana melibatkan lembu dan peruntukan yang begitu besar,” ujar beliau di dalam ucapannya di Pidato Wacana Pendidikan Percuma di sini semalam.

Sebelum ini, Shahrizat terpaksa letak jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kommuniti ekoran dari skandal NFC yang mula di dedahkan oleh Ketua Audit Negara pada November tahun lepas dan diulas oleh Parti Keadilan Rakyat.

Suami Shahrizat pula, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, dihadapkan ke mahkamah sesyen Kuala Lumpur pada Mac 12 di atas dua caj pecah amanah bersabit pembelian dua unit condo bernilai RM 49.7 juta.

Nizar turut berseloroh dengan menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak perlu bersusah payah untuk menawan Perak kembali kerana penyelewengan Umno-BN telah diketahui hampir segenap pelusuk rakyat di Perak.

“Kita tidak perlu bersusah payah untuk menawan Perak kerana kita sebut lembu Shahrizat dan cincin Rosmah, Perak kita dapat tawan kembali,” guraunya.

Selain itu, kegusaran Umno-BN terhadap Pakatan di Perak telah membuatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib datang ke Perak enam kali.

?Najib memberikan habuan wang ringgit kerana mereka takut kehilangan negeri ini dalam pilihanraya nanti,” kata Nizar.

Beliau menambah pimpinan Umno sendiri tidak menerima idea 1Malaysia yang dibawa Najib.

“Tunku Razaleigh sendiri memberitahu saya, pemimpin Umno sendiri tidak menerima idea 1Malaysia yang berhempas pulas di lakukan oleh Najib,” jelas Nizar.


Pengarang :