NASIONAL

Pampasan RM73,000 Flat Kg Kerinci Tak Wajar

SHAH ALAM,5 APRIL : Tindakan hanya memberikan pampasan berjumlah RM73,000 kepada penduduk Flat Kampung Kerinchi di Lembah Pantai dilihat satu tindakan kejam, dakwa Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Samad.

Beliau berkata sedemikian setelah membuat lawatan semalam ke flat yang akan dibangunkan semula oleh sebuah pemaju swasta.

Seramai 35 keluarga masih bertahan di kediaman mereka kerana tidak bersetuju dengan pampasan yang ditawarkan.

“Unit kediaman yang sama di kawasan pinggir bandar seperti di Pandan Indah bernilai sekurang-kurangnya RM75,000. Oleh yang demikian nilai bagi kawasan di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur seperti Kampung Kerinci sudah tentu berkali-kali ganda,” kata Iskandar yang dipetik dalam blognya.

Beliau juga memberitahu difahamkan bahawa pembangunan yang akan dibangunkan di atas tapak flat itu adalah bernilai tinggi yang sudah tentu akan memberi pulangan beratus-ratus juta Ringgit Malaysia.

“Unit kediaman yang mempunyai keluasan yang sama dengan flat penduduk mungkin akan dijual dengan harga melebihi RM500,000. Maka sudah tentu pemaju mampu menawarkan pampasan yang lebih tinggi,” ujarnya.

Flat tersebut telah dibina oleh PKNS pada lewat 70’an dan telah dijual kepada orang ramai.

“Apabila terdapat cadangan untuk membangunkan semula tapak flat itu, PKNS telah turut membuat tawaran. Tetapi tawaran PKNS ini telah tidak berjaya. Sebuah pemaju swasta telah terpilih,” katanya.


Pengarang :