Pas Selangor Turun Menunjukkan Sokongan Pada Mahasiswa | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Zharif Zulkiffeli

Pas Selangor Turun Menunjukkan Sokongan Pada Mahasiswa

KUALA LUMPUR, 26 APR : Pas Selangor mengadakan lawatan ke perkhemahan aktivis mahasiswa yang telah berkampung lebih 12 hari di Dataran Merdeka sini bagi menyatakan sokongan terhadap kempen pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman yang hadir sambil ditemani beberapa penyokong menegaskan, pemansuhan PTPTN ini bukanlah isu politik Pakatan Rakyat.


Sebaliknya ia merupakan hak rakyat dan perkara ini turut diakui oleh beberapa ahli Umno-BN yang ditemui beliau sendiri.

“PTPTN ini bukan mengira parti. Orang Umno sendiri menyokong dan saya difahamkan mereka juga akan turun. Saya merasakan isu ini cukup universal dan saya mengharapkan ramai akan turun pada Sabtu ini,” katanya.

Apa yang penting katanya, penyokong perlu memastikan mereka tidak membawa peralatan yang boleh menimbulkan ancaman selain berhati-hati bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

“Kita sudah menasihatkan mereka yang ingin hadir jangan membawa sebarang senjata atau peralatan yang boleh menimbulkan provokasi. Jika ada sebarang keganasan dan sebagainya, kita minta mereka rakam supaya boleh dijadikan bukti,” katanya.

Beliau turut meminta pihak Unit Amal mengawal keselamatan sebaiknya supaya keadaan mahasiswa yang berkumpul dan bermalam dapat diperhatikan bagi mengelakkan sebarang serangan pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam majlis sama, Dr Rani menyerahkan sedikit sumbangan kepada pihak mahasiswa memandangkan sebelum ini tabung simpanan hasil sumbangan orang awam telah dirampas oleh Dataran Bandaraya Kuala Lumpur.

Turut kelihatan beberapa petugas DBKL yang menunggu kawasan yang telah dipagar bagi menghalang mahasiswa mendirikan khemah selain kehadiran orang awam yang turut memberikan sokongan dan melihat sendiri suasana perkampungan.

Pihak mahasiswa juga memaklumkan, satu bas penyokong dari Kelantan akan tiba di Kuala Lumpur untuk menyatakan sokongan kepada perhimpunan Sabtu ini.

Suasana malam turut dihangatkan dengan kehadiran penulis lirik Awan Nano, Hasmi Hashim yang dijemput untuk memperkatakan mengenai pencerahan bagi meningkatkan semangat mahasiswa.

Beliau memuji semangat dan momentum luar biasa yang ditunjukkan oleh anak muda.

“Jiwa saya memang dekat dengan anak muda khususnya mahasiswa sebab mana-mana bangsa yang keluar daripada penindasan ada peranan mereka.Saya tidak pernah putus memberikan sokongan sejak 13 tahun lalu kepada mereka,” katanya.

Ujar beliau lagi, kesedaran orang ramai terutamanya anak muda semakin melebar dan keberanian yang ditonjolkan jelas menunjukkan  kebangkitan anak muda yang tidak gentar dengan sebarang halangan yang dihadapi.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION