NASIONAL

Pasang Bendera Parti Langgar Undang-Undang Pilihanraya

KUALA LUMPUR, 19 APR: Kegairahan Umno-BN menggantung bendera dalam usaha meraih kembali sokongan rakyat sehingga sanggup memperalat agensi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)  sebenarnya telah mencabul undang- undang pilihanraya.

Exco Selangor, Teresa Kok berkata, mengikut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),  semua kempen bermula hanya selepas Parlimen dibubarkan.

Tindakan ini jelas melanggar peraturan pilihanraya namun  sehingga kini tidak ada sebarang tindakan atau arahan yang dikeluarkan supaya bendera tersebut diturunkan atau ditarik semula.

Beliau memaklumkan, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya semua bendera parti dalam program Pakatan Rakyat hanya boleh digantung 48 jam sebelum dan selepas program.

“Bagi kerajaan Selangor,  kita telah mengeluarkan arahan kepada semua PBT yang mana bendera parti Pakatan Rakyat hanya boleh digantung selama 48 jam sebelum atau selepas sesuatu program. Kami mahu mengikuti undang-undang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh  menambah, pelanggaran undang-undang ini  bukan sahaja berlaku di kawasan yang dikalsifikasikan sebagai harta awam sebaliknya mereka turut menggunakan lebuhraya sebagai kawasan untuk ‘berkempen’.

“Kita lihat mereka juga menggunakan lebuh raya. Mereka memberikan alasan lebuh raya dibawah penguatkuasaan kerajaan pusat. Waktu pilihanraya masih belum tiba untuk mereka mengedarkan bendera-bendera ke rumah pangsapuri dan kos rendah serta menggantungnya adalah satu kesalahan,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi KTMB Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed yang juga koordinator BN Selangor menafikan mengeluarkan arahan bendera dipasang di seluruh 28 stesen di Selangor yang kini ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Berdasarkan laporan portal Malaysiakini, tujuh stesen Komuter bermula di laluan Kuala Lumpur-Pelabuhan Klang mendapati dua stesen dekat Shah Alam sudah dipasang dengan bendera BN. Kelihatan lebih 30 bendera di pasang, kebanyakannya di kawasan pagar di stesen Batu Tiga dan sekurang-kurangnya 10 bendera lagi dipasang di stesen Shah Alam.

Bagaimanapun, di Batu tiga, selain di pagar Komuter, kelihatan beberapa rumah sepanjang landasan kereta api juga kelihatan dipasang dengan bendera parti sama.


Pengarang :