Pemuda PAS Mahu Suruhanjaya Diraja Siasat ‘Pengkhianat Jual Negara’ | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Syarizat Xylog

Pemuda PAS Mahu Suruhanjaya Diraja Siasat ‘Pengkhianat Jual Negara’

SHAH ALAM, 5 APRIL : Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja diwujudkan berhubung dakwaan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar bahawa wujudnya “task force” yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya akan datang.

Sebelum ini, Mahfuz mendedahkan “task force” tersebut diketuai oleh Penasihat Khas Perdana Menteri Osman Razak, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tajuddin Wahab, dan Timbalan Pengerusi SPR Wan Ahmad Wan Omar.

Malah beberapa pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dikatakan terlibat sama antaranya, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Jariah, Nik Norashikin Nik Mansur, Rashid Basiron, dan Shahrul Anwar Ahmad Zahidi.


“Pendedahan Mahfuz Omar merupakan sesuatu yang amat serius kerana ia melibatkan integriti serta kedaulatan negara. Sekiranya rakyat asing sudah diberikan taraf kerakyatan negara ini dan seterusnya dibenarkan untuk mengundi dalam PRU ke-13, ini menandakan tahap keselamatan negara sudah berada dalam keadaan bahaya.

Ini memberi gambaran bahawa bila-bila masa sahaja negara boleh dijual kepada warga asing oleh mereka yang mengkhianati amanah rakyat sebagai pemimpin kanan kerajaan,” kata Ketua Penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor dalam kenyataan medianya.

Menurut Riduan,pendedahan ini membenarkan lagi telahan banyak pihak bahawa BN sedang merancang untuk melakukan penipuan secara besar-besaran bagi menghadapi PRU 13.

“BN tidak bersikap “gentleman” dan tidak bersedia menghadapi kenyataan dengan menerima apa juga keputusan rakyat dalam pilihanraya. BN terlalu terdesak mengekalkan kuasa meskipun ditolak oleh rakyat sehingga sanggup mengambil warga asing sebagai warga negara dan sebagai pengundi,” ujarnya.

Tambah Riduan, BN tergamak memperkudakan agensi kerajaan bagi meraih kepentingan diri mereka dan tidak kisah sekiranya integriti agensi kerajaan seperti SPR dan JPM jatuh menjunam serta menjadi cemuhan rakyat tempatan mahupun masyarakat antarabangsa.

“Sekiranya benar dakwaan ini, kesemua nama yang disebut perlu diseret ke muka pengadilan meskipun ia akan menjerat sama pemimpin negara.Mereka ini adalah pengkhianat negara dan tidak mungkin ada kemaafan bagi mereka.

“DPPM turut mendesak Perdana Menteri menangguhkan pilihanraya sehingga Suruhanjaya Diraja selesai melakukan siasatan terhadap dakwaan ini. PRU ke-13 adalah hak rakyat Malaysia yang sah, bukan hak warga asing yang diberikan taraf kerakyatandan seterusnya diberikan peluang untuk mengundi,” tegas Riduan.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION