NASIONAL

Pemuda PAS: Wan Ahmad Tiada Hak Ulas Isu BERSIH 3.0

SHAH ALAM,5 APRIL : Suruhanjaya Piliharaya (SPR) diseru supaya jangan panik dengan pengumuman Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) untuk menganjurkan perhimpunan aman Bersih 3.0 pada 28 April 2012 dengan menyifatkan perhimpunan ini sebagai tindakan terburu-buru yang menunjukkan ?kegelisahan beliau dalam melindungi sesuatu?.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor berkata sepatutnya, Timbalan Pengerusi SPR,Datuk Wan Ahmad Wan Omar tidak perlu mengulas Himpunan Bersih 3.0 kerana itu bukan kerja beliau.

“Tugas utama beliau, adalah memastikan perjalanan pilihanraya berlangsung dengan adil dan bersih.

Beliau tidak perlu bertindak bagi pihak Perdana Menteri atau kerajaan Malaysia. Yang perlu mengulas isu himpunan Bersih 3.0 adalah kerajaan, sama ada Perdana Menteri, menteri terbabit atau pihak polis,” tegasnya dalam kenyataan media.

Tambah Riduan, SPR tidak perlu bimbang kerana hasil himpunan ini rakyat sendiri akan memerhati setiap pergerakan SPR mahupun kerajaan dalam PRU ke 13 dan setiap penipuan pasti akan dapat dihidu dan dibongkarkan.

“Justeru, jika SPR yakin tidak ada unsur penipuan selama ini apa yang hendak ditakutkan. SPR patut ucap terima kasih kerana rakyat membantu melicinkan lagi usaha SPR mahu membersihkan sistem pilihanraya,” ujarnya.


Pengarang :