NASIONAL SELANGOR

Penduduk Kampung Sungai Makau, Hulu Langat Terima Notis Borang 5A

HULU LANGAT, 22 APR : Bukti janji Pakatan Rakyat yang membela nasib rakyat tanpa kira agama, bangsa dan fahaman politik sekali lagi terserlah hari ini di dalam satu majlis pemberian hak milik tanah di sini.

Beberapa peneriman notis borang 5A atau kelulusan pemilikan tanah, menceritakan bagaimana mereka sudah berkali-kali memohon hak milik daripada pentadbiran Umno-BN dulu.

“Saya sudah mengemukakan permohonan sebanyak tiga kali dan pemerintahan kerajaan dahulu (Barisan Nasional) sudah masuk dua penggal tetapi tiada apa-apa tindakan sehinggalah Pakatan Rakyat mengambil alih,” kata Thamaselvam Chelliah, 54, seorang penerima notis 5A.

Thamaselvam berkata beliau menunggu lebih dari 20 tahun untuk menerima hak pemilikan tanah yang didudukinya.

Begitu juga Lim Choo On, 60, yang sudah tinggal di kampung tersebut melebihi 20 tahun.

“Kalau dahulu semasa pemerintahan BN, terlalu banyak karenah dan mesti menyokong BN tetapi pentadbiran Menteri Besar telus dalam menangani masalah rakyat,” katanya.

Thamaselvam dan Choo On antara 55 penduduk yang menerima Notis 5A dari Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di padang Taman Titiwangsa, Kampung Sungai Makau di sini.

Turut hadir Exco Selangor, Iskandar Abdul Samad dan Ean Yong Hian Wah, MP Che Rosli Che Mat, Adun Bangi, Shafie Abu Bakar,  Pegawai Daerah Hulu Langat, Haris Kasim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Datuk Hasan Nawawi.

Pada majlis yang sama, Abdul Khalid turut menyerahkan surat hak milik kepada 29 orang penduduk Kampung Bahagia, Bangi yang berjaya menjelaskan premium setelah menerima notis borang 5A.


Pengarang :