SELANGOR

Peniaga Mangsa Kebakaran Diberi Bantuan

PUCHONG, 25 APR : Nasib lima peniaga malang di Kampung Seri Langkas Tambahan di sini yang mengalami kerugian selepas perniagaan mereka musnah dalam kejadian kebakaran awal tahun ini mendapat perhatian Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang.

Dengan kerjasama pimpinan PAS Kawasan Puchong, kesemua peniaga terbabit menerima sumbangan peribadi berjumlah RM500 setiap orang, baru-baru ini.

Penyelaras DUN Seri Serdang, Mohd Rosharizan Mohd Rozlan berkata, kejadian awal pagi itu dipercayai berpunca daripada litar pintas di salah sebuah premis berkenaan.

Menurutnya, ekoran kejadian itu, kesemua peniaga tersebut dilaporkan mengalami kerugian hampir puluhan ribu ringgit.

“Atas dasar keprihatinan dan ihsan sesama manusia, PKM DUN Seri Serdang hadir menghulurkan bantuan kepada peniaga yang terlibat. Bantuan ini bukan hanya melibatkan kewangan, malah kita juga turut memberi sokongan moral kepada peniaga selepas apa yang berlaku,” ujarnya.

Jelas Mohd Rosharizan, pihaknya juga akan mempertimbangkan cadangan untuk membina semula premis berkenaan dalam masa terdekat sekiranya mempunyai peruntukkan mencukupi.

Tambahnya, kejadian seumpama itu dilaporkan pertama kali berlaku dengan membabitkan gerai makanan dan kedai jahit.

“Kita ada berbincang bersama Ketua Kampung Batu 12 untuk membangunkan semula perniagaan di kawasan itu. Kos penyelenggaraan masih belum dikenalpasti, tetapi kita akan usahakan sebaik mungkin untuk membantu para peniaga di situ,” jelasnya.


Pengarang :