SELANGOR

‘Perkuburan Wilayah Bersepadu’ Atasi Masalah Tapak Kubur Di Selangor

SHAH ALAM, 9 APR : Berdasarkan perangkaan terkini unjuran penduduk sehingga 2060, kerajaan negeri mengambil inisiatif merancang Tanah Perkuburan Wilayah Bersepadu (PWB) bagi mengatasi isu kekurangan kawasan perkuburan di negeri ini .

Menurut Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok, berkata PWB menggabungkan dua aspek penting iaitu konsep Perkuburan Wilayah dan Perkuburan Bersepadu.

Perkuburan Wilayah menyaksikan beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berjiran atau berhampiran dengan maksimum 45 minit masa perjalanan berkongsi tanah perkuburan manakala Perkuburan Bersepadu merupakan pembangunan yang terancang menempatkan tanah perkuburan untuk mereka yang beragama Islam, Buddha, Kristian, Hindu dan lain-lain.

“Melalui konsep ini juga, perancangan PWB turut menyediakan kemudahan-kemudahan seperti pejabat pentadbiran, surau, bangunan krematoriom, tandas awam, laluan akses dan pejalan kaki selain tempat meletak kereta.

“Kita dalam usaha melaksanakannya mengikut lokasi dan wilayah kedudukan PBT dan setiap zon tapak perkuburan perlu dikenalpasti mengikut kewujudan tapak, kadar kemudahsampaian dan aksesibiliti yang dikongsi antara PBT berhampiran,” jelas Teresa ketika sidang medianya di Bangunan Darul Ehsan.

Sebanyak tiga zon dikenalpasti sebagai Zon Tapak PWB iaitu Zon Utara yang menggabungkan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Bagi Zon Timur pula meliputi Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), dan Majlis Daerah HUlu Selangor (MDHS).

Sementara itu, Zon Selatan menggabungkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSpg), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlid Daerah Kuala Langat (MDKL).

Di peringkat awal ini, Teresa berkata, kerajaan negeri dalam proses perolehan tapak dan perancangan lanjut di beberapa tapak iaitu di Sepang, Petaling dan Hulu Langat.


Pengarang :