SELANGOR

Perumahan Di Alam Perdana, Kg Berembang Akan Dapat Kunci 28 April

SHAH ALAM 18 APR : Selama empat tahun menerajui negeri ini, kewibawaan Kerajaan Pakatan menyempurnakan usaha-usaha pemulihan terhadap projek perumahan terbengkalai tidak dapat disangkal lagi.

Terbaru, Kerajaan Negeri akan mengadakan Majlis Penyerahan Kunci kepada seramai 1,116 pemilik rumah teres dan 2,500 pemilik rumah kos rendah di Alam Perdana  pada 28 April ini.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, rumah-rumah teres tersebut berjaya dipulihkan oleh Kerajaan Negeri menerusi Menteri Besar Incorporated (MBI) setelah terbengkalai sejak 2004 lagi.

“MBI membelanjakan lebih RM187 juta untuk menyiapkan rumah teres ini termasuk kos pengambilan tanah untuk pembinaan tangki air, laluan bagi tangki air dan laluan utama ke taman perumahan.

“Antara usaha pemulihan termasuklah pecah sempadan, tukar syarat tanah dan pengeluaran hakmilik individu dan seterusnya memastikan pembeli terlibat memperolehi rumah tersebut sehingga Sijil Layak Menduduki dikeluarkan,” jelas Abdul Khalid dalam kenyataan medianya.

Dalam majlis yang sama juga, satu taklimat penerangan oleh Menteri Besar kepada 203 pembeli rumah teres dua tingkat juga akan diadakan.

“Rumah-rumah tersebut terpaksa dirobohkan kerana didapati ianya tidak selamat diduduki.

“Pembinaan semula rumah-rumah ini akan dilakukan anak syarikat kerajaan negeri, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB),” ujar beliau.

Selain itu, pada 21 Mei, giliran 694 pembeli pangsapuri Kampung Berembang di Ampang pula untuk menerima kunci rumah.

Kerajaan Negeri mengambil alih projek ini dengan melantik pemaju baharu dengan kos pembinaan RM29 juta setelah tiga tahun lewat disiapkan.


Pengarang :