NASIONAL

Pindaan Rang Undang-Undang Ganti ISA Hanya Kosmetik

SHAH ALAM 11 APRIL : Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Johari Abdul menyifatkan Rang Undang-Undang ganti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dibetangkan di Dewan Rakyat semalam sebagai Undang-Undang ‘Kosmetik’.

Katanya, jika dilihat tiada pembaharuan yang dibuat oleh kerajaan pusat berhubung undang-undang baru itu.

“Undang-undang itu bersifat kosmetik, mengaburi mata semua orang sedangkan ianya tidak jauh bezanya dengan ISA,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membentangkan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 itu bagi mengantikan ISA, 1960.

Akta baru itu dikatakan memberi lebih perlindungan dan jaminan tiada seorang pun boleh ditangkap semata-mata atas fahaman dan kegiatan politiknya.

Setiap kesalahan di bawah rang undang-undang ini akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Selain itu, rang undang-undang tersebut memberi kuasa kepada polis melanjutkan tempoh tahanan seseorang individu tidak lebih 28 hari bagi tujuan penyiasatan.

Mereka yang dilepaskan akan dipasang peranti pengawasan elektronik mengikut Kanun Tatacara Jenayah.

Mengulas lanjut perkara itu, Johari berkata akta baru itu juga agak kabur dan tidak jelas.

“Jika dikatakan memberi lebih perlindungan dan jaminan tiada seorang pun boleh ditangkap semata-mata atas fahaman dan kegiatan politiknya, ianya agak kabur dan tidak jelas.

“Yang lebih teruk, jika seseorang itu dilepaskan oleh mahkamah, akta baru ini boleh menahannya semula tanpa waran dan tidak boleh diikat jamin sehinggalah semua proses itu selesai.

“Maknanya sehingga proses mahkamah itu selesai, dia terpaksa menunggu lama kerana proses itu mungkin berlanjutan enam hingga sepuluh tahun,” katanya.

Tambahnya, apa yang berbeza cuma masa iaitu tempoh tahanan diawalkan kepada 28 hari berbanding 60 hari sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, jika Mahkamah Tinggi sudah melepaskan tahanan mengapa ianya ianya boleh ditahan balik? Jika sepatutnya dilepaskan, lepaskan sahaja.

“Saya rasa undang-undang di bawah ‘Panel Code’ sudah cukup. Jadi kenapa tidak gunakan dibawah Panel Code sahaja.

“Akta baru ini juga dilihat tidak masuk akal dan hanya akan menyusahkan seseorang yang ditahan,” katanya.

Dalam Akta baru itu juga empat kesalahan yang dikategorikan sebagai kesalahan keselamatan ialah menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang dipertua Agong, memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan dan untuk mendapatkan perubahan selain dengan cara yang sah.

Rang undang-undang yang dibahagikan kepada lapan bahagian itu ekoran pemansuhan ISA 1960 seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, September lalu.


Pengarang :