SELANGOR

PKNS Berjaya Selesaikan Projek Penempatan Di Bukit Botak

SHAH ALAM 18 APR : Setelah lebih 20 tahun terbengkalai, penduduk yang terlibat dengan projek penempatan semula di Bukit Botak kini mampu menarik nafas lega apabila Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya membina 1,422 unit kediaman berkembar.

Menurut Timbalan Pengurus Besar, Noraida Mohd Yusof projek yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini dibangunkan setelah Kerajaan Negeri berjaya mengambil alih tanah kawasan berkenaan.

“PKNS kemudiannya diberi amanah untuk meneruskan projek tersebut menggantikan sebuah syarikat pemaju swasta.

“Alhamdulillah, sehingga kini hampir 72 peratus siap dibina dan kita bersedia untuk menjalankan majlis cabutan undian unit rumah yang bakal diduduki untuk 707 orang yang layak pada Sabtu ini dengan kehadiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,” jelas Noraida dalam sidang media yang diadakan di Menara HPAIC di sini.

Mengulas dakwaan bahawa PKNS tergesa-gesa ingin menyempurnakan undian unit rumah projek terbabit, beliau berkata dakwaan liar tersebut tidak menjejaskan usaha PKNS menyiapkan projek mengikut jadual.

“Dakwaan itu ternyata tidak tepat kerana sememangnya menjadi prinsip PKNS mengadakan undian sekiranya sesuatu projek sudah mencapai 60 sehingga 80 peratus siap.

“Kita sentiasa memastikan proses pembinaan dan pembelian berjalan seiring agar penduduk dapat masuk rumah tepat pada masa dan seterusnya mengelak kejadian vandalisme dan sebagainya jika rumah kosong,” tambah Noraida.

Setiap unit rumah dijual pada harga RM99, 000 dan PKNS menanggung subsidi keseluruhan sebanyak RM 79.6 juta.

“Ia adalah sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat PKNS bagi melancarkan projek ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Selangor,” kata Noraida.


Pengarang :