NASIONAL

PKR Selangor Sasarkan Lebih 80,000 Sertai BERSIH 3.0

SHAH ALAM, 24 APRIL : PKR Selangor dijangka akan menggerakkan lebih 80 ribu ahli dan jentera partinya  menyertai himpunan BERSIH 3.0 ‘Duduk dan Bantah’ pada Sabtu ini sebagai sokongan kepada gerakkan rakyat menuntut penambahbaikan dalam sistem pilihanraya.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie berkata pihaknya yakin dengan penyertaan puluhan ribu dibaris hadapan mengemudi kemaraan rakyat akan berjalan secara secara aman sepertimana kejayaan himpunan BEBAS ANWAR 901 lepas.

“Saya berasa amat yakin dengan tahap disiplin dan prinsip perjuangan yang jitu dari kalangan anggota kami, penyertaan ini akan menjadikan BERSIH 3.0 sebagai satu lagi medan kepada jentera dan ahli parti untuk berhimpun dalam menghadapi PRU 13 yang berbaki beberapa bulan sahaja lagi,”ujarnya.

Sejak akhir-akhir ini, politik negara sering memperlihatkan kerakusan kerajaan mengunakan segala kekuatannya untuk mengekang kebebasan rakyat bagi memastikan BN terus kekal berkuasa.

Dalam masa yang sama, Negara juga diperlihatkan dengan pelbagai episod ketirisan, salahguna kuasa dan penyelewengan dana rakyat oleh pemimpin kerajaan.

Menurut Shuhaimi, tindakan kerajaan negeri Selangor untuk tidak menyertai pilihanraya negeri ketika pilihanraya umum akan datang sebagai suatu langkah yang tepat dan wajar ekoran terdapat beberapa keraguan yang membimbangkan berhubung daftar pemilih di Selangor.

Kini, suasana semakin membimbangkan apabila Kerajaan menerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) meluluskan Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang diluluskan Dewan Rakyat dengan mempersembahkan beberapa perubahan yang menimbulkan keraguan dikalangan pemimpin Pakatan Rakyat serta rakyat yang inginkan ketelusan pilihanraya.

Justeru, Shuhaimi melihat kronologi ini sebagai suatu yang membimbangkan dan sudah tiba masanya untuk kerajaan bertemu dengan gerombolan rakyat yang inginkan perubahan dan hak mereka.

“Mungkin telah tiba masanya agar ‘buku bertemu ruas’ digunakan supaya maruah rakyat dikembalikan. Jangan sampai SPR di humban ke dalam api kemarahan rakyat di jalanraya! Waktu itu ‘jalanraya’ yang banyak ‘mengajar pimpinan kuku besi dalam sejarah dunia’ wajar dipertimbangkan sebagai pilihan akhir,”jelasnya melalui kenyataan media.


Pengarang :