Selangorkini
NASIONAL

PKR: SPR, Umno-BN Takut Pemerhati Luar

SHAH ALAM, 25 APR : Umno-BN sewajarnya mengalu-alukan kehadiran pemerhati politik luar bagi memantau pilihanraya di negara ini sekiranya benar mereka mengamalkan sistem pentadbiran yang telus dan adil selama ini.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nor Manuty berkata tiada apa yang perlu ditakuti dan diselindungi Umno-BN mengenainya kerana ia bakal memberi gambaran positif kepada mereka seandainya apa didakwa parti kerajaan itu benar.

“Kalau Umno-BN amalkan demokrasi yang telus dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengikut prosidur demokrasi. Apa yang nak ditakutkan?,” begitu kata Dr Muhammad Nur kepada TVSelangor di sini hari ini.

Beliau menjelaskan kehadiran pemerhati politik luar bagi memantau pilihanraya di sesebuah negara di dunia ini adalah amalan biasa yang tidak perlu dipersoalkan.

Menurutnya, isu itu adalah isu yang biasa dan Umno-BN seharusnya mengakui perkara itu.

Katanya, SPR sebagai badan bebas perlu membuka pintu terhadap pemerhati politik luar supaya pilihanraya di Malaysia mendapat imej yang baik dan terpuji dimata dunia.

“Sepertimana yang didakwa Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof disebabkan kerja profesional SPR menyebabkan ramainya pengundi baru seperti di Selangor yang di luar jangkaan mereka. Maka biarlah pemerhati-pemerhati ini meneliti prosidur-prosidur yang ada pada SPR.

“Biar mereka (pemerhati politik luar) berjumpa dengan rakyat, pimpinan NGO dan semua parti politik. Sepatutnya ia dialu-alukanlah dan ini adalah amalan biasa yang berlaku dalam mana-mana negara dalam dunia,” katanya.

Dr Muhammad Nur berkata, pemimpin Umno-BN perlu berlapang dada dan bersikap demokratik dalam isu seperti itu.

“Banyak negara di dunia menjemput pemerhati luar ketika pilihanraya di adakan bagi membuktikan ketelusan sistem demokrasi di negara tersebut.

“SPR dan pemimpin BN tidak perlu takut sekiranya kita benar-benar telus dan bersih dalam mengadakan pilihanraya.

“Ketika imej SPR terjejas teruk masakini, kehadiran pemerhati politik luar adalah langkah terbaik bagi mengembalikan kepercayaan umum kepada badan bebas itu dan seterusnya kerajaan.” jelas Dr Muhammad Nor.


Pengarang :