NASIONAL

PTPTN Kerajaan Pusat Amal Dwi- Standard

SHAH ALAM 2 APRIL : Sikap dwi-standard Kerajaan Pusat terhadap isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menimbulkan kecurigaan dan kemarahan rakyat yang kini terbeban dengan hutang berkenaan.

Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria berkata demikian bagi mengulas pendirian Kerajaan Pusat berhubung cadangan Pakatan Rakyat (PR) untuk memansuhan pinjaman PTPTN.

Memberi contoh sikap pemurah Perdana Menteri, Datuk Seri NajibRazak menghapuskan hutang Tan Sri Tajudin Ramli berjumlah RM589 juta sedangkan graduan diburu dengan pelbagai cara untuk melunaskan hutang PTPTN mereka.

“Sikap kerajaan seperti ini yang sewajarnya dipersoalkan, mana lagi releven jika dibandingkan dengan kita (PR) untuk memperjuangkan hak rakyat dengan memansuhkan PTPTN.

“Ini bercanggah dengan hasrat kerajaan untuk membina minda rakyat kelas pertama, ia jelas tidak releven sedangkan dalam perlembagaan sendiri menjanjikan hak bumiputra untuk menerima pendidikan secara percuma,”jelas Nasir.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji untuk menghapuskan PTPTN sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat menjadi kerajaan selepas pilihanraya umum akan datang.

Sebagai respon terhadap cadangan itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pemansuhan PTPTN tidak akan dilakukan selain menyifatkan cadangan PR itu sebagai suatu yang tidak releven.

Mengulas lanjut berhubung perkara ini, Nasir berkata adalah tidak wajar untuk meletakkan beban hutang dibahu mahasiswa seawal umur 22 tahun untuk melangsaikan hutang pendidikan mereka sekitar RM25,000 hingga RM80,000 sedangkan banyak sumber dana tiris akibat amalan urus tadbir yang korup.

“Kita yakin untuk melaksanakannya sekiranya benar-benar mentadbir kerajaan, kita juga melihat perkara ini sebagai suatu yang serius apabila FOMCA sendiri menyatakan 41 rakyat dibawah umur 30 tahun setiap hari bakal bergelar muflis akibat beban hutang, PTPTN adalah salah satu daripada puncanya,”jelasnya.

Sebagai rekod, pada tahun 2011 sahaja sudah 1.87 juta penuntut membuat pinjaman PTPTN membabitkan peruntukan RM41.6 bilion.

Seramai 69,573 daripada 104,083 peminjam yang disaman oleh mahkamah sehingga Oktober 2011, kerana gagal menjelaskan pinjaman mereka.


Pengarang :