NASIONAL

Pusat Sekat Peruntukan Atasi Masalah Banjir Di Selangor

SHAH ALAM, 2 APRIL: Banjir kilat yang melanda Klang baru-baru ini dijadikan isu politik apabila Datuk Seri Noh Omar menyalahkan Kerajaan Negeri Selangor  tetapi tidak memberi sebarang idea untuk penambahbaikan dan menyelesaikan masalah berkenaan.

Ronnie Liu dalam satu kenyataan memberitahu kerajaan negeri sudah berbincang dengan Jabatan Parit Saliran(JPS) dan dimaklumkan JPS telah memohon RM1 bilion daripada Kerajaan Pusat bagi menyelesaikan masalah banjir ini termasuk menjalankan kerja-kerja pengurusan, pembersihan dan penyelenggaraan sungai.

Tetapi walaupun permohonan sudah  dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10(RMK-10)  tetapi tidak dianggap penting oleh Kerajaan Pusat malah dikategorikan tahap ketiga.

“Lebih malang lagi, meskipun ada seorang menteri dari Selangor iaitu Noh Omar tetapi beliau gagal menekankan kepentingan dana RM1 billion diturunkan ke Negeri Selangor. Beliau bukan sahaja gagal memastikan peruntukan disalurkan malah  beliau cuba menyalahkan pegawai dan kakitangan profesional JPS,” katanya yang bertanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri.

Persoalaannya, bagaimana JPS mampu melaksanakan tugas dengan baik  jika Kerajaan Pusat  menyekat peruntukan ini dan Noh Omar pula tidak melihat peruntukan ini penting kepada rakyat Selangor khususnya di daerah Klang.

Malangnya, apabila berlaku musibah seperti bencana alam seperti ini,  pemimpin BN tanpa usul periksa menyalahkan kakitangan kerajaan.

Bagi Ronnie, sikap memperkecilkan kakitangan JPS bukan jalan terbaik menyelesaikan masalah banjir. Sebaliknya beliau perlu jujur membantu rakyat dengan mendesak peruntukan RM1 bilion disegerakan.

“Noh Omar tidak jauh beza dengan mantan Menteri Besar, Dr Khir Toyo yang menuduh Unit Perancang Ekonomi (UPEN) menyerahkan konsesi air kepada Puncak Niaga sedangkan seluruh negara tahu keputusan ini dibuat oleh Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri ketika itu,” kata Adun Pandamaran itu.

Di Selangor, JPS di bawah Kerajaan Pusat bertanggungjawab menyelesaikan masalah banjir. Oleh itu, dana dan peruntukan pengurusan dan pembangunan adalah datangnya dari Kerajaan Pusat.

Ini bermakna semua urusan pembangunan dan pengurusan sungai adalah tanggungjawab kerajaan pusat termasuk kerja-kerja tebatan banjir.

Walaubagaimanapun, menyedari masalah banjir adalah besar maka Kerajaan Negeri Sejak 2008, telah menguatkuasakan peraturan bahawa sebarang projek pembangunan perlu dibuat mengikut kejadian dataran banjir 50 tahun.

Ini berbeza  dengan amalan  pentadbiran negeri terdahulu yang tidak mengikut dataran banjir 50 tahun.


Pengarang :